03 September 2009

Bahasa Jiwa Bangsa

Bahasa Melayu kita sangat indah. Sudahlah indah, kaya pula. Tetapi kita selalu pula meminjam bahasa asing untuk dijadikan bahasa kita. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, peminjaman ini adalah sesuatu yang lumrah demi pengembangan bahasa itu sendiri. Jika kita tidak meminjam, bahasa kita tidak akan berkembang kerana terjemahan bahasa kita sangat terhad.

Saya tidak ingat siapa yang mengungkap ayat ini. "Asal bahasa Melayu cuma beberapa perkataan sahaja, iaitu babi, batu dan kayu. Yang lain semua dipinjam". Benarkah begitu? Entah. Saya bukan orang lama yang menongkat dunia semata-mata untuk meneliti perkembangan bahas ibunda ini. Tetapi saya rasa orang yang mengungkap itu pun cuma main cakap sahaja.

opsyen : option : pilihan
"Menyelesaikan sesuatu masalah adalah lebih mudah jika meneliti semua pilihan-pilihan yang ada".

adaptasi : adaptation : diilhamkan
"Filem ini diilhamkan dari sebuah novel."

maritim : maritime : samudera
"Agensi Penguatkuasaan Samudera Malaysia"

akuakultur : aquaculture : ternakair
"Industri ternakair berkembang pesat di negara ini."

imarah : i'marah (Bahasa Arab) : meriah
"Marilah sama-sama kita memeriahkan masjid."

agro : Agro : tani
"Bank Pertanian/Agro Bank"

zoo : zoo : taman haiwan
"Taman Haiwan Kuala Lumpur diiktiraf sebagai antara yang terbaik di dunia."

Lihatlah betapa indahnya bahasa kita. Bagi saya contoh-contoh di atas bukanlah pinjaman dari bahasa asing. Ini sebenarnya menunjukkan betapa malasnya rakyat Malaysia untuk mengorek khazanah ibunda. Patutlah suatu masa dahulu Dewan Bahasa dan Pustaka dituduh kemandulan idea.

Saya risau pula budaya meminjam ini akan membarah. Maklumlah orang memang suka meminjam dari menghasilkan sendiri. Meminjam lebih mudah, tak perlu keluarkan duit, kalau rosak pun, bukan kita punya. Adakah bahasa kita akan menjadi begini kelak?

Cer : Chair : Kerusi
"Saya sangat tertarik dengan set cer yang dijual di kedai itu."

Bed : Bird : Burung
"Bed helang ialah haiwan rasmi Amerika Syarikat."

Flaig : Flight : Penerbangan
"Flaig dari Jeddah akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebentar lagi."

Saya benar-benar takut. Jika ini terjadi, kita akan hilang jati diri untuk selama-lamanya. Kalaulah memang pun ditakdirkan ia akan terjadi nanti, saya mohon kepada Allah supaya saya mati terlebih dahulu, kerana saya takut anak cucu saya akan kencing di atas pusara saya kerana saya tidak berbuat apa-apa untuk menyelamatkan khazanah negara.

Ya Allah, elakkanlah ini dari terjadi.

2 comments:

Nafastari said...

Saya juga mempunyai kebimbangan yang sama seperti anda. Orang sekarang sudah melihat bahasa Melayu sebagai bahasa yang tidak maju, malah ada yang tidak malu-malu mengaku bahawa dia kelihatan bodoh jika bertutur dalam bahasa Melayu. Saya sendiri cuba menulis sebaik-baiknya dalam bahasa Melayu dalam blog saya, dan selepas ini saya juga berazam untuk tidak menggunakan perkataan-perkataan saduran seperti yang anda tunjukkan. Terima kasih, Kelisa, ini adalah suatu catatan yang sangat baik dan berguna.

kelisa_samudera said...

nafastari
saya mengagumi usaha anda untuk tidak menggunakan perkataan saduran ini. walaupun begitu, suka saya katakan kita tidak boleh menolak untuk menggunakannya juga. sebagai contoh sindrom, sensitif, unit dan sebagainya. perkataan-perkataan ini memang sukar untuk diterjemahkan di dalam bahasa melayu.
cuma, jika bahasa Melayu mempunyai perkataan yang seerti, mungkin lebih manis bahasa Melayu digunapakai.
tahniah atas keazaman anda.