28 December 2009

Kembara Royal Belum


Kembara saya tahun ini melabuhkan tirainya dengan kunjungan ke Taman Negeri Royal Belum yang diketuai oleh Dato' Dr. Ismail bin Alias, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia. Sesekali melasakkan diri di dalam hutan sebegini memang seronok. Jika iklan-iklan semasa sekarang mengajak orang supaya 'memanjakan' diri di spa, rumah urut atau sebagainya, cubalah sesekali masuk ke hutan. Tentu banyak kelainan yang dirasai. Barulah dapat menjadi 'jantan' yang sebenar. Saya lebih suka menjadi 'jantan' seperti ini daripada menjadi 'jantan' metroseksual.

Apa yang menarik bagi saya apabila masuk ke hutan ialah keletah manusia yang pelbagai. Di sini kita dapat melihat lelaki yang bercakap besar, tetapi takut kepada selut dan tanah yang melekat di seluar. Dapat juga melihat wanita yang banyak mulut tetapi kemudiannya mulut dibuka luas-luas untuk menjerit apabila pacat hinggap di kaki. Paling menarik di dalam kembara ini ialah lelaki yang berlagak kacak dan budiman terhadap wanita, kononnya dialah yang paling hebat apabila berada di dalam hutan tanpa menyedari orang lain loya melihat perwatakannya.


Taman Negeri Royal Belum berkeluasan 117,500 hektar seperti yang digazet di dalam keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak, dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu Upper Belum dan Lower Belum. Menurut anggaran saya, keluasan itu menyamai 83,751 buah padang bola sepak. Jika tidak silap saya, hanya sebanyak 4000 hektar sahaja dari kawasan itu yang dilitupi dengan air manakala selebihnya ialah hutan atau pulau yang terdapat di sekeliling tasik. Kawasan ini juga diletakkan di dalam kawasan keselamatan, kerana itu setiap jarak tertentu kita akan mendapati ada beberapa pos tentera yang berjaga sepanjang masa. Bagi rakyat Malaysia, permohonan untuk masuk ke kawasan Upper Belum akan diproses selama seminggu sebelum diluluskan, manakala bagi pengunjung luar negara boleh menjangkau sehingga dua minggu. Faktor utamanya ialah kerana kawasan ini ialah bekas sarang komunis di mana masih terdapat jerangkap samar yang belum dibersihkan selain dari kawasan ini memang sesuai untuk strategi ketenteraan.

Rombongan ini agak bertuah kerana dapat menjelajah tasik ini dari penghujung utara (Upper Belum) hingga ke penghujung selatan (Lower Belum). Jika di utara, penghujungnya hanyalah cuma 8 kilometer dari sempadan Thailand-Malaysia, manakala penghujung selatan ditutup dengan Empangan Temenggor yang wujud pada tahun 1970-an lama sebelum kewujudan Royal Belum. Sepanjang perkiraan saya, terdapat lebih dari 100 buah pulau yang terhasil dari tasik buatan ini dan pulau-pulau ini kemudiannya diselenggara oleh jabatan-jabatan negeri seperti Perhilitan, JHEOA, Jabatan Perikanan dan sebagainya. Saya cuba mencari pulau milik jabatan saya tetapi dimaklumkan ianya terletak jauh dari jalan biasa.


Pulau Tali Kail ini ialah milik Jabatan Perhilitan. Rasanya pulau ini yang mempunyai prasarana yang paling lengkap untuk kem motivasi dan sebagainya. Selain dari mempunyai chalet dan kemudahan penginapan tidak seperti tempat penginapan rombongan kami (yang sebenarnya hanyalah khemah seperti khemah askar, berkongsi tandas dan kotor kerana tiada lantai), ia mempunyai teknologi Astro dan perantauan telefon dapat diperolehi di sini. Mungkin suatu masa nanti saya akan menyarankan kepada ketua jabatan saya supaya dapat menganjurkan kem bina semangat di sini.

Seperti rutin biasa apabila 'orang-orang besar' turun ke 'bumi', penganjur akan menyediakan pakej yang lengkap untuk pelancongan ini. Ia termasuklah lawatan ke kampung orang asli, melawat bunga rafflesia, air terjun, ternakan talapia dan sebagainya.

Saya berani bertaruh bahawa suara mereka lebih merdu dari suara kebanyakan artis-artis Melayu yang dilahirkan dari program realiti. Persembahan mereka pada malam BBQ dan ketika menyambut kedatangan kami ke perkampungan mereka begitu mengujakan. Kumpulan ini yang menamakan diri mereka sebagai Cinok bukan sahaja dapat menyanyikan lagu-lagu rock dengan baik, tetapi juga lagu Hindustan, irama 60-an dan Thailand. Saya sangat tertawan dengan lagu ciptaan mereka sendiri iaitu 'Bungo Lemaye' yang bermaksud Kekasih Yang Kucintai. Melodinya yang menyayat hati dan suara penyanyinya yang merdu benar-benar membuatkan saya syahdu walaupun saya tidak tahu maksud lirik berkenaan.


Inilah generasi masa depan yang masih terumbang-ambing. Tidak dapat tidak, lama-kelamaan mereka harus menerima teknologi dan pembangunan. Pencapaian akademik mereka tidak mengagumkan, tetapi mereka ada bakat yang tinggi terutamanya di dalam bola sepak. Banyak lagi perancangan yang harus dilakukan oleh kerajaan untuk membangunkan orang asli terutamanya pertikaian mengenai tanah adat, saluran bantuan dan sebagainya. Masalah ini mungkin kecil pada masa sekarang, tetapi pada masa hadapan ia mungkin akan menjadi masalah yang lebih besar.

Yang paling menarik sepanjang percutian ini mungkin terletak pada hidangan terakhirnya iaitu daging kijang liar. Setelah empat hari menikmati ikan darat seperti sebarau dan kelah, akhirnya kami dihadiahkan dengan hidangan panggang ini. Tetapi yang agak menyesalkan ialah rasanya tidak seperti kijang yang pernah saya makan. Ia dimasak mentah, cukup untuk saya merasakan bahawa saya seekor harimau pada malam itu.

Akhir sekali apabila pulang ke rumah, saya perlu menyiapkan alasan yang kukuh untuk isteri saya. Sepanjang tahun ini, saya telah merantau ke beberapa negeri di dalam Malaysia, tetapi dia hanya setia berada di rumah. Saya agak kasihan dan kesal, bukan niat saya untuk meninggalkannya bersendirian, tetapi perantauan saya tahun ini banyak berkisarkan kepada kerja sahaja. Di dalam kereta saya berfikir-fikir di mana mahu saya mengorek wang lebihan untuk membawanya melancong ke mana-mana destinasi pada tahun hadapan. Harapan saya semoga Allah mempermudahkan urusan saya untuk menjadi suami dan bakal bapa yang baik.

7 comments:

yg_indah said...

aku dr sek men lg nak pi Belum, tapi sampai skrg belum sampai2.

atbk said...

pi je la dekat2...
dlm negara byk je tempat best2...

tak tau lah kalu "korek duit" yang hang maksudkan tu pelancongan ke negara eropah yang menelan beribu2 ringgit hehe

kelisa_samudera said...

yg_indah : sebelum hang masuk kena tetapkan tujuan dulu. nak mancing/lawat org asli/duduk saja2/advencer hutan atau sebagainya. kalo tak hang rasa tak best sebab mmg banyak benda boleh dibuat dalam tu.kalo nak buat semua dengan masa yang sikit mmg tak dapat la.

atbk : mmg nak pi dekat2 je. masalahnya yg dekat pun perlukan ongkos pak!!

atbk said...

pi ayaq panas sungai kelah kat sungkai...
die siap salurkan masuk chalet lagi, leh berendam2 dgn bini dlm chalet
rendam teloq (ayam)
rendam megi
makan kat situ jugak!
kelllaasss

haha

Golongan Marhaen said...

yg indah & atbk: klu nak travel free, mohonlah jadik ptd..hehehe

kelisa: anda tak menyanyi jugak ke?anda patut tonjolkan bakat anda yg terpendam itu..nyanyila lagu indah lelapku izwan pilus itu...hehehe

azza said...

salam nak g sana tu kena wat permit ker? tau tak mcm maner nak wat?

~Azza~ said...

salam , nak tanya leh tak mcm maner proses nak dapatkan permit tu yea...nak berhubungan dengan siapa yer...