04 September 2010

Kisah gelandangan yang menyedarkan


Saya tidak dapat hadir ke surau pada suatu malam Ramadhan kerana anak saya meragam dan isteri saya tidak begitu sihat. Walaupun sedikit kesal kerana malam ponteng itu ialah malam-malam 10 terakhir, saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana tanggungjawab kepada keluarga saya lebih penting daripada menunaikan amalan sunat terawih. Sunat terawih juga boleh dilakukan di rumah jika saya benar-benar berkehendakkannya. TV3 pada masa itu menayangkan segmen Majalah Tiga yang memaparkan kisah gelandangan di Kuala Lumpur pada bulan Ramadhan.

Ada beberapa kisah kecil diantaranya seorang lelaki ditinggalkan oleh abangnya sendiri kerana perwatakannya yang lembut selain dari golongan keluarga bermasalah dan rata-ratanya berlatar belakangkan Lorong Haji Taib yang popular itu. Ada juga dipaparkan mereka berbuka puasa beramai-ramai di kaki lima, beratur untuk mendapatkan bubur lambuk percuma di Masjid Jamek, tangisan kerana kerinduan kepada saudara mara dan penyesalan ke atas nasib malang yang tidak berkesudahan. Dengan tidak sedar saya menitiskan air mata.

Saya tidak menitiskan air mata simpati kepada nasib mereka yang ditakdirkan Tuhan itu. Sebenarnya air mata simpati itu dicurahkan kepada diri sendiri yang dirasakan lebih teruk dari mereka. Di dalam keadaan saya yang sentiasa mengadu kepada Allah kerana beberapa perkara yang remeh temeh, rupanya di sisi lain di dalam hidup ini lebih ramai yang tidak bernasib baik. Entahlah, tiba-tiba rasa malu kepada Allah Yang Maha Esa dan golongan gelandangan itu.

Saya sentiasa berasa dengki dengan kenderaan mewah yang memotong saya ketika di dalam perjalanan pergi dan pulang dari kerja. Acapkali juga saya memasang impian supaya saya diberi peluang untuk memandu kereta seperti mereka. Saya selalu merintih apabila wang gaji telah masuk pada setiap hujung bulan kerana terpaksa membayar ansuran rumah, bil utiliti, wang pinjaman pendidikan, sewa rumah dan hutang kad kredit. Saya melahirkan perasaan gelisah apabila tiba masa untuk membeli keperluan rumah kerana pada ketika itu saya berasa kantung saya akan lebih mengempis. Usai solat saya tidak pernah putus berdoa supaya saya menjadi kaya dan dilapangkan rezeki kerana merasakan hidup saya ketika ini sangat tertekan. Segalanya saya tumpukan untuk berfikir bagaimana menambah pendapatan.

Nun di celah-celah hidup gelandangan, saya percaya mereka tidak pernah mempunyai wang lebih dari RM100.00 pada satu-satu masa sedangkan nilai itu adalah sesuatu yang lumrah di dalam hidup ini. Dan saya masih menangisi tentang hidup saya yang malang ini. Aduh, malunya.

Rupanya kehidupan saya pada masa ini tidak pernah mendatangkan syukur untuk diri saya. Saya dikurniakan keluarga yang sejahtera dan damai, saudara-mara yang baik dan penyayang, rakan-rakan yang ramai yang sedia membantu, rumah dan makanan yang cukup, pekerjaan yang baik yang memungkinkan saya menguasai orang lain dan wang yang sederhana untuk keperluan. Dan sekali lagi, saya tidak pernah melahirkan ucapan terima kasih di atas kurniaan ini.

Saya bertaubat kepada Allah Yang Perkasa itu. Mungkin jika Allah meletakkan saya di tempat gelandangan itu, barulah saya tahu betapa besarnya nikmat yang Allah telah kurniakan kepada kehidupan saya sekarang. Manusia yang bodoh sombong seperti saya begitulah. Ketika mana kita kehilangan sesuatu, kita akan merayu-rayu dan mengeluh seolah-olah Allah tidak pernah memerhatikan kita. Tetapi ketika di dalam keadaan senang lenang, kita masih juga berasa tidak pernah cukup.

Semoga hari-hari terakhir Ramadhan ini memberikan saya peluang untuk merayu kepada Allah supaya mengampunkan saya. Saya seorang yang sentiasa terlupa. Mungkin dua tiga bulan lagi saya akan kembali merintih tentang malangnya nasib saya dan terlupa dengan nasib gelandangan itu. Tetapi harapan saya supaya Allah tetapkan hati saya dengan sifat bersyukur kepada-Nya di atas kurniaan kehidupan yang baik yang telah diberikan kepada saya dan keluarga. Amin.

02 September 2010

Gajah, Planter's Heaven dan Emerald West


Kubu Gajah, Batu Gajah, Padang Gajah dan Kampung Gajah ialah beberapa tempat di negeri Perak yang menggunakan nama gajah. Saya kurang pasti ada tempat lain yang menggunakannya, tetapi sepanjang pengembaraan saya, inilah yang dapat saya ketahui. Dua tempat daripadanya merupakan daerah pentadbiran iaitu Kampung Gajah dan Batu Gajah.

Disebabkan terlalu banyak tempat yang menggunakan nama gajah di sini, saya merasakan gajah mendapat pengiktirafan yang istimewa daripada penduduk negeri Perak. Malah penyakit kaki gajah yang pertama di Malaysia juga dikenalpasti bermula dari negeri ini. Ia tidaklah begitu mengejutkan apabila melihat kepada struktur geografi, negeri ini mempunyai gunung ganang dan hutan belukar yang pelbagai yang menjadikan ia habitat yang sesuai untuk makhluk ini. Jika bernasib baik, kita dapat bertembung dengan gajah ketika menyusuri Lebuhraya Timur Barat yang menghubungkan Grik dengan Jeli. Di Hutan Simpan Belum di Daerah Hulu Perak, bertembung dengan gajah bukanlah sesuatu yang menghairankan. Malah pekan kecil seperti Lenggong juga merekodkan kehadiran gajah di beberapa perkampungannya.

Orang-orang zaman dahulu kebiasaannya akan menamakan sesebuah tempat mengikut apa yang mudah didapati atau terjadi sesuatu peristiwa yang pelik di situ. Kita dapat melihatnya melalui penamaan Kota Melaka, Alor Setar, Kuala Lumpur dan sebagainya. Jika kita mengikut konsep penamaan tempat ini kepada negeri Perak, maka kita akan mendapati bahawa gajah memang mudah didapati di negeri Perak.

Suatu masa dahulu keadaannya memang begitu. Orang-orang kampung yang 'bodoh' ini akan menamakan sesuatu mengikut apa yang mereka lihat. Tetapi orang-orang sekarang yang 'cerdik' menamakan sesuatu tempat bukan lagi kerana kebiasaan sesuatu kejadian, tetapi 'lebih kepada main ikut sedap mulut'. Sesiapa yang melalui Lebuh Raya Utara Selatan dari Port Dickson hingga ke Rawang akan mengerti apa yang saya maksudkan. Bermula dari Bandar Springhill, Planter's Heaven, Bandar Bukit Mahkota, Cyberjaya sehinggalah ke Valencia dan Emerald West/East, segalanya membuatkan lidah saya tidak selesa.

Rasanya rakyat Malaysia sudah semakin malu untuk menamakan sesuatu yang cenderung kepada suasana Malaysia. Mungkin mereka merasakan bahawa menamakan sesuatu tempat dengan nama barat akan menjadikan pemikiran penduduknya lebih murni dan maju. Kemungkinan juga menamakan Valencia di Rawang akan menjadikan kawasan itu lebih sejuk seperti cuaca di Valencia, Sepanyol. Atau menamakan Cyberjaya boleh membuatkan penduduknya lebih berfikiran ke arah kemajuan daya teknologi berasaskan internet.

Sekarang perumahan-perumahan baru tidak lagi menggunakan nama Melayu. Taman Rowther, Gombak dan Bandar Baru Botani, Ipoh (sekadar menamakan beberapa tempat) adalah beberapa contoh yang menampakkan tabiat ini. Semuanya dikiblatkan kepada barat seolah-olah kita sekarang menjadi sebahagian dari benua Eropah. Suatu masa dahulu apabila nama Shah Alam, Bandar Baru Uda, Putrajaya atau Bandar Darul Aman diisytiharkan sebagai nama tempat, ia masih lagi boleh diterima kerana masih bercirikan Malaysia. Suatu masa nanti jangan terkejut pula jika hutan di kampung anda dinamakan sebagai East New York atau New Manchester.

Kecerdikan manusia sebenarnya begitulah. Lebih suka menjahanamkan dari memperbetulkan. Selepas itu kita akan merungut bahawa bahasa kita sudah semakin mundur dan menyalak ke sana sini tanpa menyalahkan diri sendiri. Menuding jari memang mudah, semudah menamakan sesuatu kawasan.

30 August 2010

Semuanya kerana gigi


Saya rasa saya akan mengingati tarikh 29 Ogos 2010 / 19 Ramadhan 1431 dengan tempoh yang lama gara-gara sebatang gigi yang berlubang. Setelah tidak dapat menahan sakit lagi walaupun berbagai cara telah dilakukan, saya mengambil keputusan untuk mencabutnya walaupun menyedari risiko terbatalnya puasa sangat tinggi. Saya bertanya-tanyakan juga kepada ibu saya apakah mencabut gigi boleh membatalkan puasa, dan dijawabnya puasa akan terbatal sekiranya mengeluarkan darah dengan sengaja. Memang jelas puasa saya akan terbatal kerana mencabut gigi geraham boleh mengakibatkan darah tidak berhenti untuk tempoh beberapa jam.

Pedih juga apabila mengenangkan rekod baik puasa saya akhirnya terpaksa dicemari dengan sengaja. Setelah berpuasa penuh selama 19 tahun Hijrah yang bersamaan dengan 18 tahun Masihi, (mula berpuasa penuh mulai Darjah 4) akhirnya kejayaan peribadi saya yang biasa-biasa pada pandangan orang itu terpaksa ditamatkan juga. Terkilan, sedih dan rasa ketinggalan.

Saya akhirnya sempat membayangkan perasaan rakan-rakan wanita yang tidak boleh berpuasa. Sekiranya saya cukup terkilan hanya kerana terpaksa ponteng satu hari, apatah lagi mereka yang akan berasa sungguh sedih kerana tidak dapat berpuasa berhari-hari. Di dalam kesempatan itu saya mengucapkan syukur pula kerana dilahirkan sebagai seorang lelaki.

Semuanya kerana gigi geraham bongsu saya yang berlubang. Selepas dicabut, saya dibenarkan membawa pulang gigi tersebut untuk disimpan atau ditanam. Apakala saya melihatnya, patutlah sakit saya tidak tertahan lagi selama beberapa hari yang lalu. Selepas Ramadhan ini saya mempunyai agenda penting untuk menebus puasa, sesuatu yang sangat janggal bagi kehidupan seorang lelaki Muslim seperti saya.

25 August 2010

Perihal doa kepada pemerintah


Terlanjur bercerita tentang doa kepada pemerintah yang menjadi bahan panas pada akhir-akhir ini, saya tidak mahu berpendirian apa-apa kerana saya sendiri tidak pernah mendengar doa yang dimaksudkan. Saya mengambil sikap berhati-hati apabila sesebuah parti politik mengeluarkan sesuatu isu kerana saya teringat firman-Nya:-

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."
Al-Hujuraat : 6


Tanpa prejudis saya berpendapat Islam bukanlah agama yang kedekut untuk mendoakan pemerintah-pemerintahnya. Eloklah jika doa ditadah bagi memohon pemimpin bukan Islam yang adil supaya mereka memeluk Islam kerana doa yang sedemikian sangat murni. Saya cuma dapat melihat yang isu ini hanyalah isu maha kecil yang sama sekali tidak akan menurun atau meningkatkan undi mana-mana parti politik.

Apa yang ingin saya ceritakan ialah semenjak saya mula-mula pandai ke masjid untuk mendirikan solat Jumaat iaitu 20 tahun yang lalu, doa kepada ketua negeri/negara memang selalu dibacakan. Saya boleh menghafal setiap bait-bait doa berkenaan dan saya menyedari doanya lebih kurang sama, tidak kira ia dibacakan di Kedah, Kuala Lumpur atau Perak. Isi kandungannya adalah untuk memohon supaya disejahterakan sultan-sultan sekalian dan dipanjangkan umur bagi membolehkan mereka memerintah dengan baik. Lazimnya ketika saya masih budak, saya menyedari bahawa jemaah akan mengaminkan doa tersebut dengan kuat dan sukarela.

Namun begitu, akhir-akhir ini suasananya agak berbeza sekali di masjid tempat saya selalu bersembahyang sekarang. Doa yang dibacakan kepada pemerintah ini tidak diaminkan dengan bersemangat oleh jemaahnya. Ada pula yang saya lihat majoriti jemaah yang langsung menjatuhkan tangan apabila doa tersebut dibacakan walaupun mereka mengangkat tangan untuk doa yang sebelum-sebelum itu. Malah di beberapa masjid lain sekitar tempat saya bersolat langsung tiada doa yang dimaksudkan.

Rasanya saya dapat mengagak mengapa jemaah-jemaah masjid berperangai sedemikian. Tetapi biasalah, jika saya tuliskan di sini tentulah ia menjadi sensitif dan didakwa menghasut pula. Tetapi kerana takut dakwaan menghasut itulah agaknya rakyat negara kita, khususnya jemaah di masjid-masjid yang saya sebutkan ini akhirnya memprotes secara diam-diam. Perbuatan menjatuhkan tangan ketika doa itu dibacakan adalah perbuatan yang paling berkesan untuk menunjukkan bahawa mereka tidak suka kepada seseorang, tetapi ia juga perbuatan yang boleh dikatakan 'sah dari segi undang-undang.' Tiada apa-apa dakwaan akan dikenakan jika kita menjatuhkan tangan ketika doa dibaca untuk kesejahteraan ketua negeri/negara.

Entahlah, saya bukan orang yang bijak di dalam beragama. Saya tidak tahu sama ada isu ini besar atau tidak di sisi Allah nanti. Saya cuma memohon kepada Allah supaya sesiapa sahaja yang menggunakan agama untuk kepentingan dunia tidak kira dari Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional, biarlah Allah membalas dengan balasan yang setimpal. Saya tidak mahu berfikir tentang isu remeh ini. Isu ini menyesakkan kepala dan dada saya.