02 August 2010

Seorang Naib Ketua Bahagian

Saya jarang sekali berbicara politik dengan orang lain. Walaupun saya mengikuti perkembangan politik dengan konsisten, mengambil tahu hal ehwal semasa, mempunyai pendirian yang tidak memihak dan agak terbuka di dalam perbincangan, saya jarang bertukar-tukar pendapat dengan orang lain kerana beberapa sebab. Di antara sebabnya ialah perbincangan tentang hal politik sangat mudah menimbulkan provokasi kepada sesetengah orang. Saya harus mengelakkan provokasi dan sikap pergaduhan kerana saya berpegang kepada kata-kata Imam Al-Ghazali, 'tinggalkanlah perdebatan walaupun engkau tahu engkau boleh menang.'

Walaupun begitu pada suatu hari saya telah didatangi oleh seorang Naib Ketua Bahagian UMNO di atas beberapa permasalahan berkaitan bidang tugas saya. Selepas beberapa minit perbincangan, dia mula mengajak saya untuk bersembang berkenaan dengan politik semasa. Di atas kapasitinya sebagai ahli politik yang memihak, saya mengambil pendekatan berhati-hati di dalam melontarkan hujah. Saya menyatakan kepadanya bahawa saya tidak memihak kepada sesiapa, dan saya menghakimi sesuatu isu tidak berdasarkan kepada akar parti tetapi kepada apa yang saya percaya betul. Saya lebih suka digelar lalang, pemerhati politik, tidak berpendirian atau sebagainya, tetapi saya tidak menyokong sesiapa. Di dalam perbualan kami, adakalanya saya mengkritik parti BN dan adakalanya saya mengkritik parti PR.

Ternyata beliau seorang yang agak terbuka. Beliau menerima hujah saya di samping saya mendengar hujah beliau dengan sikap yang agak matang sekali. Ada beberapa ketika kami saling berbalas-balas pendapat dan beliau sendiri tidak terlalu teruja untuk mempertahankan partinya jika isu-isu yang dikemukakan memang tidak memihak kepada BN. Saya agak gembira dengan butir perbualan kami yang penuh manfaat pada petang yang mendung itu. Sikapnya yang baik, berbahasa dan menghormati saya membuatkan saya terfikir bahawa tidak semua ahli politik yang menganggotai satu-satu parti itu bersikap keterlaluan di dalam hujah mereka.

Beliau sempat menyatakan penghargaannya kepada saya kerana sudi berbual tentang politik. Menurutnya, di luar sana beliau tidak boleh bersikap mengkritik kepada parti sendiri kerana perbuatan seumpama itu diibaratkan seperti penderhakaan. Beliau memberi sedikit peringatan kepada saya supaya tidak menghebahkan butir perbualan di luar kerana menjaga nama baiknya di dalam parti. Saya tidak ada masalah tentang itu. Saya sendiri tidak mahu menghancurkan cita-cita beliau untuk menjadi ADUN kerana sikapnya yang matang dan terbuka itu. Bagi saya, beliau orang yang layak untuk menjadi ADUN kerana beliau boleh menerima teguran dari orang lain.

Saya gembira berbual dengan orang yang terbuka di dalam agenda politik. Saya sendiri tidak mahu berpura-pura menyokong parti itu atau ini hanya kerana menjaga hati mereka. Sukar sebenarnya mencari orang yang terbuka, kerana setiap apa yang dikatakan mungkin akan dibalas dengan emosi dan bukan ilmu. Jika saya berbicara tentang APCO dengan penyokong PR, mungkin mereka akan beria-ia menambah perisa sehingga menggelarkan orang itu dan ini sebagai agen Yahudi atau Israel. Tetapi apabila saya menambah dengan isu permohonan maaf Anwar Ibrahim kepada Yahudi di atas keterlanjuran katanya (seperti yang ditulis di dalam satu blog dan wawancara Anwar Ibrahim dengan CNN yang kemudiannya masih tidak dinafikan oleh DSAI), penyokong PR tadi mungkin akan menghentam saya kembali.

Begitu juga sekiranya saya berbicara tentang kedaulatan raja-raja, penyokong-penyokong UMNO akan mendakwa bahawa merekalah yang sangat mentaati raja dengan mengambil kira cerita politik di Negeri Perak. Lalu dikatalah bahawa DAP dan PAS telah menderhaka kerana berdemo di hadapan istana. Tetapi mereka terlupa pula siapa yang mula-mula sekali mendakwa raja itu dan ini pada awal 1990-an ketika di bawah pemerintahan Tun Dr Mahathir. Menteri Besar negeri mana yang menendang pintu istana kerana tidak puas hati digugurkan sebagai Menteri Besar atau orang belah mana yang mula menggantung kain rentang 'natang' untuk ditujukan kepada istana. Tidak usahlah pula menipu saya tentang integriti ahli politik di dalam pembahagian kekayaan terutamanya di negeri tempat saya berkhidmat ini, kerana jawatan saya di sini memungkinkan saya mengetahui semua perkara luar dalam tentang kegiatan mereka. Saya mengetahui dengan sangat jelas siapa kroni untuk orang ini, berapakah luas tanah diberi kepada orang itu, bagaimana orang sana menindas orang sini dan sebagainya. Sebagai kesimpulannya, saya beranggapan baik PR atau BN semuanya lebih kurang sama sahaja. Oleh sebab itu saya sentiasa mengambil pendirian untuk tidak memihak.

Di akhir perbualan kami seperti lazimnya ahli-ahli politik yang lain, dia meminta supaya saya memangkah BN pada pilihanraya yang akan datang. "Insya Allah Tuan Haji, tapi saya masih belum buat keputusan," jawab saya ringkas.


18 July 2010

Pandanglah secara menyeluruh


Di antara rancangan yang kerap ditonjolkan di dalam saluran Animal Planet ialah kehidupan haiwan-haiwan di safari Afrika. Antara watak-watak utama haiwan yang sentiasa 'berlakon' di dalam rancangan itu ialah singa, dubuk, gajah, rusa, kuda belang dan sebagainya. Hanya ada dua watak sahaja secara amnya, satu 'si penjahat' iaitu haiwan yang memakan haiwan lain, manakala satu lagi ialah 'si baik' iaitu haiwan yang hanya memakan tumbuh-tumbuhan. 'Si baik' ini pula sentiasa dibuli oleh 'si penjahat', sehinggakan tidak ada satu pun adegan di mana 'si baik' ini dapat membalas dendam akan perbuatan 'penjahat' kepada rakan-rakannya. Setiap kali tiba adegan beberapa ekor pemangsa mengejar mangsanya, isteri saya akan sentiasa menutup mata kerana simpati dengan haiwan-haiwan berkenaan. Ibu saya lebih dahsyat. Dia akan cepat-cepat menukar ke saluran lain sebelum pemangsa itu sempat menerkam. Sebenarnya perbuatannya menukar ke saluran lain tidak memberi apa-apa kesan pun. Singa yang selalunya menjadi pemangsa akan tetap mendapat habuannya. Kedua-dua ibu dan isteri saya memberikan alasan yang sama, mereka bersimpati dengan haiwan lemah yang selalu menjadi mangsa.

Manusia selalunya begitulah. Jangkauan pemikiran mereka tidak akan dapat melepasi apa yang ditakdirkan oleh Allah. Manusia sentiasa melihat sesuatu dari perspektif yang sempit tanpa cuba untuk melihat dari aspek yang lebih menyeluruh. Seperti rancangan Animal Planet itu, mereka hanya melihat dari mata seekor mangsa seperti arnab, rusa, kerbau dan sebagainya. Mereka tidak pernah pula melihat kehidupan dari sudut kacamata seekor harimau, dubuk, buaya atau helang.

Allah Maha Adil. Di atas sifat belas kasihan dan pandangan-Nya secara menyeluruhlah semua haiwan menikmati hidangan yang telah ditakdirkan. Seekor singa ditakdirkan untuk membaham rusa atau kijang, manakala rusa atau kijang pula ditakdirkan untuk memakan daun. Dubuk/hyena pula selalunya akan kekenyangan hanya dengan menikmati daging mangsa yang telah dijamah oleh singa terdahulu. Manakala burung hering akan menikmati sisa-sisa yang ditinggalkan oleh dubuk. Semua makhluk ciptaan Yang Maha Mengetahui ini akhirnya akan kekenyangan.

Allah mempunyai sifat Yang Maha Bersimpati. Tetapi sifat simpati Allah itu bukanlah disandarkan kepada mangsa semata-mata. Allah juga bersimpati kepada haiwan pemangsa, kerana itulah diberikan-Nya makanan yang segar dari daging haiwan yang lain. Sekiranya Allah hanya bersimpati kepada rusa, kuda belang dan arnab sahaja, maka sudah tentu Allah bersifat kejam pula kepada singa, dubuk, harimau bintang dan buaya.

Sebagai manusia kita haruslah cuba untuk melihat sesuatu secara menyeluruh. Janganlah kita mendidik mata dan hati kita untuk melihat dari perspektif mangsa semata-mata, kerana sekiranya kita berbuat demikian kita akan sentiasa berlaku tidak adil kepada semua orang. Cuba-cubalah memahami mengapa sesetengah kejadian Tuhan itu dimaksudkan sebegitu, manakala sesetengah yang lain dimaksudkan sebegini pula. Setelah kita mengumpul semua cerita dan memandangnya seperti melihat susunan gambar (jigsaw puzzle) yang sempurna, mungkin di situ barulah kita dapat menilai kepada siapa harus kita berikan perasaan simpati.

Sebenarnya agak sukar untuk memandang sesuatu secara menyeluruh. Di samping maklumat dan ilmu yang terhad, kita juga cenderung untuk menilai dengan emosi. Walaupun begitu, dengan didikan kepada hati yang kuat dan berterusan, akhirnya kita akan dapat juga belajar untuk menilai sesuatu dengan melihat kepada segenap segi. Semoga Allah memberkati kehidupan kita semua dan dapat menjalankan keadilan di muka bumi ini.


09 July 2010

Semuanya bermula dengan kegelapan


Sekiranya kita tiba-tiba berada di dalam kegelapan, sifat panik dan takut akan cepat-cepat menerjah di dalam pemikiran. Tetapi sebenarnya ia tidaklah begitu teruk kerana kita cuma perlu bertenang selama beberapa minit dan kita akan kembali dapat melihat persekitaran. Ya, pandangan di dalam kegelapan memang tidak sejelas seperti adanya lampu, tetapi tidak juga gelap seperti kita memejamkan mata. Sekurang-kurangnya bayangan di dalam kegelapan dapat mengelakkan kita dari terjatuh. Jika tidak percaya, cubalah bertenang jika rumah kita tiba-tiba keputusan bekalan elektrik. Kita akan dapat melihat kembali selepas beberapa ketika.

Hidup ini pun begitu juga. Apabila kita sedang meneroka perjalanan baru di dalam kehidupan, bayangan panik dan ketakutan itu akan menjelma juga di dalam pemikiran. Sebagai contoh jika kita ingin membuka perniagaan, bekerja di tempat baru, berhijrah ke luar negeri, baru mendapat cahaya mata atau baru berkahwin dan sebagainya, sifat panik tentulah akan datang kepada kebanyakan orang kerana kita sedang menuju ke tempat yang kita tidak biasa. Di dalam keadaan panik ini, jika kita tidak mengawal diri dengan baik maka kita akan terjerumus kepada bahaya. Bahaya itu mungkin diakibatkan oleh perbuatan kita sendiri, atau perkara-perkara yang datang kerana kita tidak menyedarinya akibat kegelapan.

Oleh yang demikian, sekiranya kita sedang berada di dalam perjalanan baru kehidupan, bersikap tenanglah seperti tenangnya kita apabila kehilangan lampu. Di dalam ketenangan itu, cuba-cubalah meneroka secara perlahan-lahan untuk kembali mencari lampu yang akan menyuluh kehidupan. Dengan sikap sabar dan tenang, lama kelamaan cahaya akan mula menyinari kembali. Bayangkanlah sekiranya tiba-tiba kita kehilangan lampu lantas kita cepat-cepat mahu mencari kembali cahaya, di situlah kadang-kadang kita akan tersilap langkah.

Begitulah. Sekiranya perniagaan yang kita buka masih lagi tidak menguntungkan, bersikap tenanglah sambil mencari idea untuk mengembangkannya. Jikalau kita baru berkahwin, bersikap tenanglah dengan kerenah pasangan yang tidak diduga. Jika baru mendapat cahaya mata, bersikap tenanglah dengan tangisan mereka yang kadang-kadang menimbulkan perasaan marah. Sekiranya kita kehilangan orang tersayang, bersikap tenanglah untuk menyesuaikan diri dengan kehilangan. Insya Allah, cahaya akan menjelma. Jika tidak ada cahaya sekalipun, belajarlah berjalan di dalam gelap kerana lama-kelamaan kita pasti boleh berlari.

30 June 2010

Pada mulanya ia tidak perlu


Hidup kita sebenarnya mudah sahaja. Ia sama mudahnya seperti kita baru lahir dengan tiada apa bekal pun dibawa ketika datang ke dunia ini. Namun begitu dunia ini menyediakan berbagai-bagai perkara yang tidak mudah, lantas kita terikut-ikut untuk menjadikannya sebagai perlu. Cuba kita lihat di sekeliling kita sama ada di rumah, pejabat, jalanan, ruang legar dan sebagainya, banyak benda sebenarnya tidak perlu pada mulanya dalam hidup kita, tetapi oleh kerana terikut-ikut dengan orang lain serta gaya hidup yang ditentukan, ia menjadi sangat penting.

Saya seringkali berasa benci dengan sebuah benda yang dinamakan seterika. Ia sangat mengganggu hidup saya dan isteri terutamanya pada waktu malam sebelum tidur. Apalah salahnya jika seterika itu tidak dicipta, maka kita semua akan keluar dari rumah dengan baju yang berkedut dan tidak kemas. Tetapi jika semua manusia di dunia ini tidak menggunakan seterika dan memakai baju yang berkedut, maka tiada siapa yang akan mengutuk kita kerana tidak kemas. Seterika langsung tidak perlu di dalam hidup manusia. Kita boleh hidup dengan atau tanpa seterika. Dengan menggunakan seterika ia membazirkan elektrik, membuang masa, mengundang bencana kebakaran dan boleh mendatangkan kecederaan. Siapalah manusia 'pintar' yang mula-mula mencipta seterika, dan siapa pula manusia 'cerdik' yang ikut menggunakan seterika dan akhirnya menyusahkan generasi kita semua?

Cuba lihat pula di dinding-dinding rumah atau pejabat,mungkin di sana tergantung lukisan-lukisan, tulisan-tulisan ayat, sudu dan garfu yang besar dan sebagainya. Adakah ia perlu di dalam hidup manusia pada mulanya? Jadi, siapa yang mula-mula mencipta benda tidak penting ini dan kemudian ia dijadikan satu gaya hidup dan akhirnya 'memaksa' ramai orang lain membelinya?

Lihat dan lihat lagi. Akhirnya kita akan menyedari bahawa 90% dari wang kita dihabiskan untuk benda-benda yang tidak perlu. Apa guna pagar rumah yang cantik dan mahal sedangkan pagar murah juga mempunyai fungsi yang sama. Untuk apa membeli penapis air jika menggali perigi lebih murah dan mudah? Untuk apa memasang penghawa dingin di bangunan yang tingkapnya bertutup rapat sedangkan jika tingkap itu dibuka angin akan masuk menderu-deru? Mengapa memasang batu marmar di lantai rumah sedangkan lantai simen juga sudah mencukupi? Jawapannya hanya satu. Ia tidak penting, tetapi ia hanyalah gaya hidup.

Ia sebenarnya hal yang kecil, tetapi jika tidak difikirkan dengan bijak kita akan tersilap menilai mana yang perlu dan mana yang tidak. Ia mungkin boleh membuatkan kita membazirkan wang dalam membeli barang-barang yang tidak penting. Saya pasti banyak menteri-menteri dan ahli parlimen Malaysia pun terjebak dengan benda-benda yang tidak perlu ini. Sebab itulah kita dapat melihat akhir-akhir ini mereka merancang untuk menghabiskan wang yang banyak untuk bangunan Parlimen yang baru, yang sebenarnya tidak penting kerana mereka masih boleh bersidang di bawah pokok seperti di Perak.