30 August 2010

Semuanya kerana gigi


Saya rasa saya akan mengingati tarikh 29 Ogos 2010 / 19 Ramadhan 1431 dengan tempoh yang lama gara-gara sebatang gigi yang berlubang. Setelah tidak dapat menahan sakit lagi walaupun berbagai cara telah dilakukan, saya mengambil keputusan untuk mencabutnya walaupun menyedari risiko terbatalnya puasa sangat tinggi. Saya bertanya-tanyakan juga kepada ibu saya apakah mencabut gigi boleh membatalkan puasa, dan dijawabnya puasa akan terbatal sekiranya mengeluarkan darah dengan sengaja. Memang jelas puasa saya akan terbatal kerana mencabut gigi geraham boleh mengakibatkan darah tidak berhenti untuk tempoh beberapa jam.

Pedih juga apabila mengenangkan rekod baik puasa saya akhirnya terpaksa dicemari dengan sengaja. Setelah berpuasa penuh selama 19 tahun Hijrah yang bersamaan dengan 18 tahun Masihi, (mula berpuasa penuh mulai Darjah 4) akhirnya kejayaan peribadi saya yang biasa-biasa pada pandangan orang itu terpaksa ditamatkan juga. Terkilan, sedih dan rasa ketinggalan.

Saya akhirnya sempat membayangkan perasaan rakan-rakan wanita yang tidak boleh berpuasa. Sekiranya saya cukup terkilan hanya kerana terpaksa ponteng satu hari, apatah lagi mereka yang akan berasa sungguh sedih kerana tidak dapat berpuasa berhari-hari. Di dalam kesempatan itu saya mengucapkan syukur pula kerana dilahirkan sebagai seorang lelaki.

Semuanya kerana gigi geraham bongsu saya yang berlubang. Selepas dicabut, saya dibenarkan membawa pulang gigi tersebut untuk disimpan atau ditanam. Apakala saya melihatnya, patutlah sakit saya tidak tertahan lagi selama beberapa hari yang lalu. Selepas Ramadhan ini saya mempunyai agenda penting untuk menebus puasa, sesuatu yang sangat janggal bagi kehidupan seorang lelaki Muslim seperti saya.

25 August 2010

Perihal doa kepada pemerintah


Terlanjur bercerita tentang doa kepada pemerintah yang menjadi bahan panas pada akhir-akhir ini, saya tidak mahu berpendirian apa-apa kerana saya sendiri tidak pernah mendengar doa yang dimaksudkan. Saya mengambil sikap berhati-hati apabila sesebuah parti politik mengeluarkan sesuatu isu kerana saya teringat firman-Nya:-

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."
Al-Hujuraat : 6


Tanpa prejudis saya berpendapat Islam bukanlah agama yang kedekut untuk mendoakan pemerintah-pemerintahnya. Eloklah jika doa ditadah bagi memohon pemimpin bukan Islam yang adil supaya mereka memeluk Islam kerana doa yang sedemikian sangat murni. Saya cuma dapat melihat yang isu ini hanyalah isu maha kecil yang sama sekali tidak akan menurun atau meningkatkan undi mana-mana parti politik.

Apa yang ingin saya ceritakan ialah semenjak saya mula-mula pandai ke masjid untuk mendirikan solat Jumaat iaitu 20 tahun yang lalu, doa kepada ketua negeri/negara memang selalu dibacakan. Saya boleh menghafal setiap bait-bait doa berkenaan dan saya menyedari doanya lebih kurang sama, tidak kira ia dibacakan di Kedah, Kuala Lumpur atau Perak. Isi kandungannya adalah untuk memohon supaya disejahterakan sultan-sultan sekalian dan dipanjangkan umur bagi membolehkan mereka memerintah dengan baik. Lazimnya ketika saya masih budak, saya menyedari bahawa jemaah akan mengaminkan doa tersebut dengan kuat dan sukarela.

Namun begitu, akhir-akhir ini suasananya agak berbeza sekali di masjid tempat saya selalu bersembahyang sekarang. Doa yang dibacakan kepada pemerintah ini tidak diaminkan dengan bersemangat oleh jemaahnya. Ada pula yang saya lihat majoriti jemaah yang langsung menjatuhkan tangan apabila doa tersebut dibacakan walaupun mereka mengangkat tangan untuk doa yang sebelum-sebelum itu. Malah di beberapa masjid lain sekitar tempat saya bersolat langsung tiada doa yang dimaksudkan.

Rasanya saya dapat mengagak mengapa jemaah-jemaah masjid berperangai sedemikian. Tetapi biasalah, jika saya tuliskan di sini tentulah ia menjadi sensitif dan didakwa menghasut pula. Tetapi kerana takut dakwaan menghasut itulah agaknya rakyat negara kita, khususnya jemaah di masjid-masjid yang saya sebutkan ini akhirnya memprotes secara diam-diam. Perbuatan menjatuhkan tangan ketika doa itu dibacakan adalah perbuatan yang paling berkesan untuk menunjukkan bahawa mereka tidak suka kepada seseorang, tetapi ia juga perbuatan yang boleh dikatakan 'sah dari segi undang-undang.' Tiada apa-apa dakwaan akan dikenakan jika kita menjatuhkan tangan ketika doa dibaca untuk kesejahteraan ketua negeri/negara.

Entahlah, saya bukan orang yang bijak di dalam beragama. Saya tidak tahu sama ada isu ini besar atau tidak di sisi Allah nanti. Saya cuma memohon kepada Allah supaya sesiapa sahaja yang menggunakan agama untuk kepentingan dunia tidak kira dari Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional, biarlah Allah membalas dengan balasan yang setimpal. Saya tidak mahu berfikir tentang isu remeh ini. Isu ini menyesakkan kepala dan dada saya.


22 August 2010

Tabung Bayi dan 'Baby Hatch'


Sekitar tahun 1993-1994, budaya bohjan dan bohsia semakin menjadi-jadi di kalangan golongan remaja pada masa itu. Istilah bohjan dan bohsia ditujukan kepada ahli masyarakat khususnya remaja yang mengamalkan seks sumbang, luar nikah dan pelacuran peringkat murahan. Golongan ini dikatakan bermula dengan budaya lepak dan dituduh menjadi agen perosak kepada budaya hidup bermasyarakat. Ya, memang benar ia menjadi perosak kepada masyarakat. Hasil dari penularan budaya seks sumbang inilah akhirnya membawa kepada gejala pembuangan bayi yang serius sekitar tahun 1995-1996. Seingat saya sepanjang saya hidup di Malaysia ini, inilah kali pertama gejala sosial yang sangat teruk telah merebak ke seluruh peringkat masyarakat. Pada masa itu, rakyat seakan-akan tidak dapat menerima kejahatan dan kekejaman manusia yang berhati binatang dengan membuang dan membunuh bayi merata-rata.

Gejala ini akhirnya tiba ke keadaan yang tidak dapat dikawal lagi. Lalu dicadangkan oleh segelintir orang supaya kerajaan menubuhkan Tabung Bayi bagi mengelakkan bayi-bayi berkenaan dibuang merata-rata. Alasannya mudah. Kerajaan akan menerima bayi ini kerana dosa yang dilakukan oleh ibu bapa sudah tinggal dosa. Apa yang penting ialah menyelamatkan nyawa. Kemudiannya cadangan ini ditentang habis-habisan oleh segelintir yang lain pula. Mereka memberi alasan yang penggunaan Tabung Bayi akan menggalakkan perlakuan seks luar nikah, sikap tidak bertanggungjawab dan menyusahkan kerajaan untuk membela bayi-bayi berkenaan. Antara yang lantang menentang penubuhan Tabung Bayi itu seingat saya ialah Mufti Perak Darul Ridzuan.

Pada masa itu saya berpendapat untuk menentang kewujudan Tabung Bayi itu.

14 tahun sudah berlalu selepas cadangan penubuhan Tabung Bayi ditentang habis-habisan tanpa sempat merealisasikannya. Pada tahun 2010 ini sekali lagi gejala pembuangan bayi menular dengan drastik. Walaupun begitu, rakyat Malaysia sudah kurang sensitif dengan berita-berita ini mungkin kerana sudah lali dengan gejala sosial yang mula membarah. Sekali lagi penubuhan Tabung Bayi dicadangkan dengan menggunakan nama yang lain, Baby Hatch.

Tidak seperti tahun 1995-1996, penubuhan Baby Hatch ini tidak mendapat reaksi penentangan yang besar. Malah ia ditubuhkan tanpa merujuk kepada apa-apa rundingan dengan rakyat, dan sedar-sedar kita telah mendapat 2 orang bayi Baby Hatch. Bayi ini akan dijaga oleh Jabatan Kebajikan dan mungkin pula akan dibela oleh keluarga-keluarga yang berminat.

Rupa-rupanya 14 tahun ialah masa yang lama untuk kita melupakan prinsip kita suatu masa dahulu. Sekarang tiada lagi tentangan yang keterlaluan kepada Baby Hatch, malah saya juga tidak mendengar apa-apa komen dari Mufti Perak Darul Ridzuan berkenaan perkara ini. Mungkin suatu masa dahulu kita menentangnya kerana nama Tabung Bayi tidak komersial. Sekarang kita menggunakan Baby Hatch, ia jauh lebih 'bertamadun' sesuai dengan kehendak semasa. Orang yang menggunakan Baby Hatch 'kurang berdosa' jika dibandingkan dengan orang yang menggunakan Tabung Bayi, malah penggunaan nama Baby Hatch juga sama sekali tidak akan menggalakkan perlakuan seks luar nikah. Mana tahu.

Sekarang pun saya masih menentang kewujudan Baby Hatch ini.


20 August 2010

Sejenak : Your comment was published

Saya memohon maaf sekiranya sedikit pengemaskinian blog saya menyukarkan orang lain untuk memberikan pendapat. Apabila saya menyemak kembali tulisan-tulisan saya yang terdahulu, saya mendapati terdapat komen-komen yang diberikan oleh rakan-rakan yang mulia kepada tulisan-tulisan saya yang lama. Di atas komen yang diberikan, saya mengucapkan terima kasih dan sangat menghargainya.

Walaupun begitu, saya berkemungkinan akan terlepas pandang komen-komen berkenaan kerana ada komen diberikan kepada tulisan saya yang terlalu lama. Oleh yang demikian, saya membuat keputusan supaya setiap tulisan saya yang berusia lebih dari 7 hari akan diletakkan di dalam senarai kelulusan (approval) saya dahulu. Ia bertujuan untuk saya tidak terlepas pandang kepada komen-komen yang diberikan. Sejujurnya tindakan saya ini bukanlah berniat untuk menapis sebarang tulisan yang tidak selari dengan pendapat saya.

Saya mengucapkan terima kasih dan sangat menghargai setiap tulisan dari pengunjung-pengunjung blog saya. Di atas tulisan-tulisan anda semua minda saya sentiasa berkembang untuk berfikir ke arah yang lebih baik. Walaupun blog saya lebih menjurus kepada kehidupan peribadi yang dekat dengan saya, tetapi saya sentiasa percaya bahawa mendengar pendapat orang lain akan menjadikan kita lebih 'merdeka'.