18 January 2010

Bagaimana orang-orang dahulu kala hidup?

Ada satu persoalan yang telah bermain di benak saya sejak sekian lama. Menyorot kepada sejarah dunia sejak 200 tahun ke belakang, banyak kemajuan drastik dicapai oleh manusia dari segi peradaban. Abad 1800-an dan 1900-an, manusia telah mencapai tahap yang terlalu laju di dalam pencapaian bangsa, di mana ketika inilah manusia telah menjumpai cara-cara untuk terbang di langit, mencipta dunia-dunia yang dahulu hanya khayalan orang tua, mencipta teknologi internet, jaringan jalanraya, membina bangunan-bangunan tinggi malah menemui formula-formula mencegah penyakit berjangkit. Sejarah menyatakan manusia sejak dari Nabi Adam lagi sudah menghuni dunia ini lebih dari beribu-ribu tahun, malah ada pendapat mengatakan tempoh Adam dijadikan sehinggalah kepada tahun 2010 Masihi ini sudah mencecah ke 100,000 tahun. Persoalan yang bermain di minda saya ialah mengapa hanya untuk tempoh 200 tahun ke belakang ini baru manusia menjumpai cara hidup yang lebih bertamadun? Adakah selama beribu-ribu tahun dahulu mereka hanya hidup sebagai orang batu yang tidak tahu apa itu internet, jalan raya dan sebagainya?

Setelah membaca dan meneliti beberapa tulisan di beberapa sumber, saya mendapat jawapan yang samar dan kabur tetapi dapat memberikan gambaran yang boleh difikirkan tentang kehidupan orang-orang dahulu. Mereka hidup bertamadun seperti kita malah mungkin juga mereka lebih maju dari kita. Mungkin orang-orang zaman dahulu mempunyai teknologi untuk terbang seperti Superman, bergerak pantas seperti Jumper atau mempunyai set kapal terbang peribadi untuk bergerak ke mana sahaja. Teori ini nampak lucu dan bodoh, tetapi jika difikir-fikirkan kembali ia ada logiknya. Malah, tiada sarjana yang pernah menafikan ketamadunan orang-orang dahulu.

Kita masih lagi berfikir bagaimana Piramid, Tembok Besar Cina atau Taman Tergantung di Babylon dibina. Kita juga mengagumi bagaimana Nabi Noh dapat membina kapal yang besar dengan bantuan hanya beberapa orang yang beriman. Bukankah kita tidak perlu berfikir sedahsyat itu jika kita memikirkan bahawa orang-orang dahulu berteknologi tinggi? Seperti juga kita mengagumi pembinaan bangunan tinggi Burj Khalifa atau Palm Island, teorinya mungkin sama sahaja.

Saya tidak ingat syariat Nabi mana yang diperintahkan jika seseorang itu menyesali perbuatannya, dia hanya boleh bertaubat di Mekah. Allah tidak akan menerima taubatnya di tempat lain. Seperkara lagi, jika seseorang ummat Nabi itu terkena najis di mana-mana anggota badannya, anggota yang terkena najis itu harus dipotong dan dibuang. Maka banyaklah manusia-manusia yang mungkin kudung tangannya, hilang lidah kerana termakan benda kotor atau hilang kaki kerana terpijak najis. Bukankah Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang? Mengapa disuruh melakukan perintah yang pelik dan tidak masuk akal itu?

Tentu sahaja Allah memberikan syariat dan peraturan mengikut keupayaan sesuatu ummat. Sama seperti perintah Allah kepada ummat Muhammad supaya bersolat sebanyak 5 kali sahaja berbanding 50 kali. Saya agak pasti mengikut teori saya yang jahil, ummat nabi yang disyariatkan benda-benda pelik itu mempunyai keupayaan yang luar biasa di dalam hidup mereka. Mungkin mereka boleh memotong anggota badan mereka seperti biasa dalam keadaan sedar tanpa berasa sakit kerana makan ubat, sama seperti teori kita pada zaman ini iaitu ubat bius. Malah mungkin juga mereka telah mencipta ubat yang membuatkan anggota badan yang dibuang itu dapat tumbuh kembali. Mungkin juga mereka mempunyai kelengkapan terbang atau kereta yang sangat laju yang membolehkan mereka pergi ke Mekah pada waktu pagi dan pulang semula ke Jepun misalnya pada waktu tengah hari.

Jadi, jika dahulu mereka maju, mengapa nenek moyang kita masih lagi tinggal di kampung? Entah. Mungkin kerana gempa bumi, penyakit berjangkit, tsunami, kehilangan sumber mineral (seperti kita yang bakal kehilangan sumber petroleum) maka ketamadunan mereka akan mundur dan mundur. Jadilah mereka kembali seperti sedia kala sebelum kemajuan itu dirintis kembali oleh cucu-cucu mereka.

Segala-galanya tidak mustahil. Saya masih lagi membaca tentang perkara ini kerana ia menarik perhatian saya. Selepas ini jika kita melihat gunung, tasik, atau apa-apa sahaja, fikirkanlah bahawa itu bukanlah alam semulajadi yang sebenar. Ia mungkin hasil tinggalan dari nenek moyang kita yang bertamadun.

Tidak mustahil juga anak-anak cucu kita akan menyangka Palm Island di Dubai, Tasik Belum di Perak atau Empangan Tiga Gunung di China itu sebenarnya kejadian alam semulajadi dari azali, sedangkan sebenarnya tamadun kitalah yang mengubah struktur geografi itu. Sekarang saya sudah mula mengesyaki gunung-ganang di sekeliling rumah saya. Dahulu ia hanyalah tanah lapang, tetapi ditambak supaya menjadi setinggi gunung untuk dijadikan kubu mempertahankan negara. Siapa tahu?

3 comments:

yg_indah said...

aku juga percaya org dulu2 ada tamadun yg lebih baik dari kita.Bukankah ALLAH (kita perlu guna kalimah ini selalu) juga berkata bahawa di setiap zaman itu ilmu makin berkurangan oleh kematian ulama/cerdik pandai.Aku juga percaya bahtera Nabi Nuh dahulu amat sofiskated dan tinggi teknologinya dari apa yg kita dapat bayangkan sekarang.kalau tidak macam mana nak bawa semua jenis haiwan berpasang-pasangan.tanpa ada jangkitan penyakit pula.teknologi ketika itu mungkin berusia 1000tahun lebih berbanding kita sekarang.

kelisa_samudera said...

yg indah : kalo kita baca pulak, bahtera Nabi Nuh dikatakan terdampar di bukit Judi, yang kini dikenali sebagai Gunung Ararat di Turki. jadi, adakah gunung Ararat tu sebenarnya hanyalah bukit kecil saja sebelum ia menjadi gunung sebab kapal?

banyak misteri dalam dunia ni. tak kira lagi misteri di mana letaknya bangsa yakjuj dan lakjuj. huhu banyak sungguh.

Nailofar said...

mak aii..bijak2..