02 January 2011

Nilai yang berbeza


Suatu hari rumah saya diziarahi oleh abang dan kakak ipar yang tinggal di Negeri Perak. Abang ipar saya berasal dari Pulau Pinang dan berketurunan Melayu, manakala kakak ipar saya yang juga kakak kepada isteri saya berasal dari Perak dan berketurunan Mendailing Melayu. Mereka tinggal di sebelah selatan negeri yang berdekatan dengan tempat asal ibu dan bapa mertua saya.

Setelah mereka tiba sambil disambut dengan sambutan yang mesra, kakak ipar saya menyatakan kekesalannya kerana tidak membawa buah tangan untuk keluarga kami. Seperti lazimnya adat orang Melayu yang lain, saya tidak mengambil kisah dengan buah tangan kerana kehadiran mereka sudah cukup bermakna buat keluarga saya yang kecil ini. Bukankah tetamu itu sendiri datang membawa rezeki? Kami kemudiannya bersembang gembira di dalam suasana kekeluargaan, usik mengusik dan berbincang tentang hal-hal semasa. Hampir beberapa jam mereka berada di rumah saya dan sempat menikmati makan tengah hari, mereka meminta izin untuk pulang.

Sebelum bertolak pulang, kakak ipar saya sekali lagi menyatakan kekesalannya yang sungguh-sungguh kerana terlupa membelikan buah tangan untuk keluarga saya. Dengan niat untuk bergurau saya berkata, " lain kali datang jangan lupa bawa buah tangan." Serta merta saya melihat riak muka kakak ipar saya menjadi kelat. Di dalam masa yang sama, isteri saya mencubit lengan saya dengan agak keras sehingga membuatkan saya terkejut. Mengapa?

"Apa cakap macam tu?" Isteri saya bertanya.

"Kan ke saya bergurau?" Saya membalas dengan pertanyaan yang sedikit keliru.

Setelah mereka pulang, barulah isteri saya menjelaskan bahawa gurauan saya itu sedikit kasar. Kenyataan saya itu ibarat seperti meminta-minta untuk diberikan buah tangan dan mempersalahkan mereka kerana tidak memberinya untuk keluarga saya.

Saya berasal dari negeri Kedah. Bagi penduduk-penduduk negeri kelahiran saya, kenyataan sebegitu adalah satu gurauan yang sangat menyenangkan hati. Ia bukanlah niat untuk menyalahkan sesiapa malah tidak juga dengan niat untuk meminta-minta, tetapi ia sekadar gurauan mesra yang diterima baik oleh mereka di sana. Tetapi ia tidak terjadi perkara yang sama pula di bumi Perak yang bertuah ini. Gurauan saya sebentar tadi dianggap agak kasar dan tidak sesuai dengan jiwa mereka.

Walaupun kita semua adalah orang Melayu, rupa-rupanya nilai kehidupan kita agak berbeza di dalam beberapa segi. Saya menyedari gurauan orang-orang Melayu di sebelah utara dan negeri Melaka agak kasar bunyinya dan tidak begitu menyenangkan hati bagi orang yang mendengar. Tetapi sesama mereka, gurauan kasar yang sedemikian tidak pernah disimpan di dalam hati malah menganggap sesuatu yang sangat mesra di dalam perhubungan. Begitu juga jika mendengar loghat Kelantan ketika mereka berbicara sesama mereka, ia nampak agak melampau dan bersifat kenegerian walaupun sebenarnya mereka tidak terniat pun untuk bersikap begitu.

Walaupun saya baru sahaja menetap di negeri ini, tetapi saya sudah lama bersahabat dengan orang-orang negeri Perak ketika di zaman universiti dahulu. Hasil penelitian saya yang tidak seberapa, orang-orang Perak mempunyai tutur kata yang sopan dan lemah lembut, malah mereka sangat merendah diri di dalam beberapa segi. Sekiranya kita sudah lama bersahabat dengan mereka barulah gurauan itu menjadi agak 'jahat' di dalam kemesraan. Tidak seperti orang asal negeri saya, mereka bercakap agak tinggi dan juah walaupun sebenarnya mereka tidak berniat untuk menjadi sombong.

Begitulah kepelbagaian yang mencorakkan sistem komunikasi kita seharian. Saya bersyukur kerana mempunyai ramai sahabat dari serata pelosok negara yang akhirnya mencorakkan keperibadian saya sekarang. Mana yang baik diambil sebagai ikutan, mana yang buruk pula dijadikan iktibar untuk menjadikan kita manusia yang lebih baik.

6 comments:

atbk said...

aku tergolong tak?
aku tergolong tak??

hahaha

nilai nan berbeza memberi warna pada kehidupan

Anonymous said...

tu bukan abg ipar mu la... tu birasmu... kalau dengo org melaka melawak lagi pedih ulu hati iye? hawau idup lagi engko rupenyer, ala2 gitu bunyinye. tsk...tsk...
-Eda-

toyolkiut said...

btul2..
kdang2 niat baik blh d salah erti krana beza cara bkata2..
tringat TK satu cerita yg tjadi pd seorang kawan..
masa mjlis btunang, ia cakap kt kluarga llaki..
'jemput la kedarah..'
langsung majlis tu batal..
nk wat mcm mana, dah ia tbiasa kata2 cm tu dlm kluarga, pada orang luar, ia sungguh tiada rasa hormat dan kasar..

nafastari said...

Sesama adik-beradik pun takkan nak terasa kot... Bagi saya orang Terengganu, kata-kata gurauan itu dapat difahami dengan mudah.

kelisa_samudera said...

atbk : ko kan org perak. ade la jugak tergolongnya. hehe.

eda : haa betul la. tak perasan plak istilah abg ipar tu. hehe

toyol : dah tu camana? jadi kawin ke tak?

nafastari : itu sesama adik beradik. kalo ipar duai ni lain sikit tambah2 kalo baru kawin.

a.samad jaafar said...

salam sahabat.. lama tak berkunjung ke sini..masa x mengizinkan.. ttg catatan ini, sebenarnya, gurauan itu cukup mudah difahami dan diterima oleh kebanyakan org Perak, terutamanya di sebelaH kuale.. sy org asal sana cukup 'masak' dgn gurauan ini. malah masih terlalu manis bagi saya. Bagi saya, ianya soal sensitif seseorang.. mereka ada di mana2.. malah pasti ada di kedah, pasti ada di kelantan juga melaka. Kami bergurau secara kasar ttp mesra.. tapi dalam kuat guarauan itu pasti terselit susuk yg mudah perasa sifatnya.. ingin saya tegaskan,buadaya bergurau masyarakat melayu tetap sama..cuma mmg ada org yg 'tak pandai' menerima gurauan..