Mereka dilahirkan dari golongan orang-orang kaya. Celik sahaja mata di dunia ini, pandangan dunia yang mempesonakan telah disediakan untuk bergelar seorang manusia. Ketika kanak-kanak sebaya mereka masih bergelut untuk keluar dari kepompong kemiskinan, mereka mempunyai segala-galanya yang cukup sebagai persediaan sehingga ke akhir hayat. Disekolahkan di sekolah-sekolah elit, diuniversitikan di luar negara dengan tanggungan sendiri, berkahwin dengan pilihan hati tanpa banyak soal dan akhirnya mempunyai masa hadapan yang cerah tidak kira di dalam apa bidang pun yang mereka ceburi. Di bahu bapa-bapa mereka terselempang pingat-pingat kebesaran anugerah raja-raja dunia, kewangannya pula bagaikan sebuah gunung yang terlalu tinggi yang tidak pernah rendah walaupun dikikis setiap hari. Rumah-rumah mereka adalah agam yang mempesonakan, dan sekiranya mereka sudah bosan dengan agam yang sama, mahligai lain menanti dengan penuh setia untuk didiami.
Di rumah-rumah bapa mereka terdapat sofa buatan luar negara yang harganya lebih tinggi dari gaji sebulan seorang pegawai muda kerajaan. Tilam dan bantal habuan tidur terlalu empuk disulam sejuta kapas yang tinggi mutunya. Makanan yang dihidang pula disediakan dari ramuan terbaik tanpa kompromi. Kenderaan-kenderaan santai dan rasmi berkoyan jumlahnya hinggakan mereka terlupa kereta yang mana sudah tamat tempoh cukai jalannya. Tempat santai mereka bukan pula di kaki-kaki lima jalan, bahkan santaian itu dikelilingi pula gadis genit yang menggiurkan. Dan akhirnya mereka ini yang hidup bagai kayangan terjun ke dunia politik yang penuh dengan duri dan tahi mengikut jejak langkah bapa-bapa, seperti pepatah orang-orang tua ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
Sekarang katakan kepada saya, adakah mereka ini faham tentang hidup kita? Mungkin demi kelangsungan politik, adakalanya mereka tidur di rumah-rumah pedalaman yang jauh dari tamadun dan menikmati kehidupan serba sederhana, tetapi soalnya adakah mereka benar-benar faham tentang kehidupan kita yang berpendapatan sederhana? Ketika mereka melabuhkan punggung di tilam-tilam empuk di bilik berhawa dingin, ada di kalangan kita yang tidur sambil mendepangkan tangan di dahi dengan memikirkan bagaimana untuk membeli komputer riba buat belajar untuk anak tersayang. Ketika mereka bersantai-santai di sofa import di mahligai-mahligai yang tersergam, ada di antara kita keluh kesah kerana rumah sudah mahu dilelong. Ada juga ketikanya mereka menikmati sarapan pagi di Starbucks atau Oldtown, ada di kalangan kita sedang bertafakur dengan lelehan air mata di solat dhuha dengan harapan supaya Allah melapangkan rezeki demi kelangsungan hidup. Aduh, betapa rendahnya darjat manusia yang bapa-bapa mereka tidak dikenali.
Kemudian apabila mereka sudah mula dikenali dengan nama mereka sendiri, akhirnya mereka mewakili kita sebagai wakil-wakil rakyat yang mesra. Wakil-wakil rakyat inilah yang akhirnya membawa suara rakyat marhaen ke arus perdana, mewakili untuk meluahkan masalah dan kesengsaraan dan mereka juga yang bertanggungjawab di atas segala yang berlaku di dalam kehidupan kita. Mereka mungkin tidak faham mengapa rakyat begitu merungut tentang 10 sen harga petrol dan kenaikan harga bahan asas yang lain. Entah pula mereka menyalahkan kita kerana terlalu gelabah apabila minyak masak sudah kurang di pasaran. Mereka mungkin juga tertanya-tanya mengapa pelajar-pelajar sekarang terlalu manja untuk menjadikan PTPTN sebagai biasiswa kerana mereka tidak pernah mendapat pinjaman PTPTN. Mungkin juga mereka berfikir bahawa bayaran bulanan PTPTN adalah sangat rendah untuk semua rakyat Malaysia, dan kerajaan sudah terlalu bermurah hati apabila menawarkan ujrah 1% kepada peminjamnya. Mereka tidak pernah merasa semua kesengsaraan ini.
Nyatalah kekayaan yang tidak dipandu dengan hemah yang tinggi sebenarnya menjadi duri yang terlalu tajam di dalam kehidupan. Duri ini kemudiannya hanya menunggu masa untuk mencucuk diri mereka sendiri yang leka. Kekayaan membuatkan sebahagian orang menjadi buta, dan lebih malang lagi kebutaan mereka itu membuatkan mereka tidak nampak nasib orang lain yang sama-sama ingin menumpang bahagia di dunia yang sementara ini.
12 comments:
kelisa.. betul sangat apa mike labun tu.. kebanyakan orang tidak menganggap bahawa kesenangan dan kekayaan itu adalah ujian Allah yang paling berat..sebaliknya mrk mengatakan bahawa ianya adalah nikmat dunia semata..
nice post...really2 like it..u have the talent...keep on writing..don't you ever stop writing..
kita manusia selalu tersilap menduga.selalunya apa yg kita anggap baik rupanya indah kabar dr rupa.
samad : Mahmud Ibn Labid r.a. berkata bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, “Dua perkara yang tidak disenangi oleh anak Adam. Mati, padahal mati itu adalah lebih baik dari dugaan (kesesatan). Harta yang sedikit, padahal harta yang sedikit meringankan hisab.”
huds : terima kasih kerana singgah. lama tak dgr kabar berita.
yg_indah : yg kita anggap tak baik pulak kadang2 berguna untuk kita.
bg mereka, mudah bercakap dan x perlu memahami kerana dikaburi harta x habis makan 7 keturunan..tangan kanan menghulur seringgit, tangan kiri x tertadah yang memberi berjuta ringgit..
udah lahir je keluo2 udah senang....udah mewahhh...takde nye deme megahse susah......agaknye deme tau ke ape die susah tu???
tunggu diorang bankrap. baru paham kesusahan kita. ;)
plg muda nurul izzah...pakar dlm politik...antara rencah kehidupan...
Benar, Kadangkala ahli politik cuma tahu kelangsungan survival mereka sahaja dan sanggup mengeksploitasikan apa sahaja tanpa mendalami denyut nadi sebenar masyarakat yang masih kekurangan serba serbi. Kita mengharapkan agar trend ini segera berubah demi kesejahteraan masyarakat tetapi hakikatnya ia akan mengambil suatu tempoh yang agak lama...
toyolkiut : agaknya itu la kut org cakap tangan kanan memberi, tangan kiri tak tahu. hehe
D08 : deme akan rasa susah bila rakyat dah tak sokong deme. atopun parti dah tak lagi perlukan deme. rujuk kes khir toyo. hehe
sakura : tunggu diorang bangkrap? bila agaknya tu?
emme : nurul izzah mungkin berbeza sikit. dia penah rasa susah bila bapaknya masuk ISA. tapi dari segi kemewahan, sama aje rasanya.
saiful : terima kasih kerana berziarah. rasa segan bila org kuat HKC bertandang ke rumah saya. hehe
Pande mike bercerita... Bekenan beno teman nengonya....
Aje nye ye... Bila beranak je, dah ade sudu perak dalam molut dema tu... Ape ndak semua ade. Belum di sebut dah sampe.
Sampe masenya, inile juga orang-orang yang naikkan rege minyak. Ini le orangnya yang naikkan rege gula. Ini le juga orangnya yang tak pase-pase naikkan rege bawang...
Kata dek dema, bukan naikkan rege barang, cuma mengurangkan subsidi barangan....
Dalam tak sedo beratuih belion lesap, tumpeh dari negara kita tanpa ada ape-ape catatan. Bebelion-belion di bayo pada pembekal api eletrik prevet, tapi rege eletrik tak turun-turun pun. Bebelion-belion di bayo pada konsesi lebuh raye...
'Take home salari' kita ade sejemput. Itu le yang nak kita gunakan nak mayo utang rumah, mayo utang kereta, nak melikan kain baju naknah, dari situ le juga kita nak meli barang dapo...
Cemuih kita mikionya...
Walau apepun kita syukur je lee... Ade orang yang lebih teruk dari kita... Semuge dgn kesyukuran kita tu, Tuhan tambahkan lagi rezeki kita...
ayah yeop :terima kasih kerana singgah. besor hati menerima kunjungan mike.
Post a Comment