14 March 2011

Apabila diri diingatkan


Di atas rahmat Allah yang menggunung tingginya kepada saya, sejak beberapa bulan kebelakangan ini Allah sentiasa membantu saya ke arah jalan kebenaran. Saya sudah mula mendekatkan diri kepada Tuhan, menghampirkan diri dengan surau yang jaraknya hanya sepelaung, menghadiri kuliah agama secara konsisten dan menambah-nambah amalan sunat. Bukanlah niat saya untuk menunjuk-nunjuk kebaikan yang telah saya lakukan, tidak. Oh Tuhan, lindungilah aku dari perasaan riak dan takbur. Cumanya saya ingin nyatakan bahawa corak kehidupan saya kebelakangan ini agak berubah sedikit. Saya sangat yakin orang lain, saudara-mara, rakan-rakan handai dan taulan samada yang saya kenali atau tidak mempunyai tingkat iman yang jauh lebih tinggi dari saya.

Saya memperkenalkan peraturan baru di rumah. Sekitar pukul 7 sehingga 8 malam, televisyen tidak boleh dibuka kecuali saluran Astro Oasis sahaja yang menayangkan zikir-zikir pengingat diri. Begitu juga peraturan baru dibuat untuk diri sendiri. Bangun sahaja dari tidur perlu mengucapkan syukur kepada Allah dengan sekurang-kurangnya ucapan terima kasih. Di papan putih rumah saya, saya mengingatkan diri sendiri supaya jangan culas untuk solat tahajud, malah sesekali perlu juga menunaikan solat dhuha. Segala-galanya saya mahu sempurnakan bagi memenuhi hajat untuk menjadikan rumah saya diterangi dengan cahaya dari langit.

Saya mahu menjadi manusia yang bersyukur. Saya mahu mendidik anak dan isteri saya ke arah mencari keredhaan Ilahi kerana tiada apa satu pun yang boleh memberi manfaat kecuali Allah Yang Maha Esa. Saya mahu mengajarkan kepada anak saya, bahawa kita punya seorang kekasih yang kekal abadi yang sentiasa menyayangi kita sebagai umatnya. Saya mahu memberitahu isteri saya bahawa rumahtangga yang dibina atas dasar saling mencintai ini tidak akan aman sekiranya kita jauh dari jalan yang benar. Saya mahu mengkhabarkan kepada ibu saya bahawa anakmu ini sudah kembali ke pangkal jalan, mahu membasahkan lidah dengan zikir dan membersihkan hati dengan iman. Saya mahu memberitahu adik saya, abangmu punya rumahtangga yang sederhana, tetapi dunia kami luas hasil dari didikan iman.

Saya juga mahu lupakan kenangan muda remaja saya yang foya-foya dan lalai. Walaupun tidaklah sehingga saya lupa kepada kewajipan, tetapi saya masih merasakan dunia remaja masih lagi menjadi titik hitam di dalam memperingati Allah. Mujurlah rakan-rakan saya semuanya sudah baik-baik, menjadi Muslim yang lebih beriman dan saling mengingati antara kami.

Tetapi itulah, sejauh mana saya mencari kesempurnaan di dalam kehidupan, terkadang saya terlupa bahawa saya masih lagi jauh dari Allah. Suatu malam selepas keluarga saya pulang dari makan malam di sebuah restoran, saya bersembang-sembang bersama isteri di dalam kereta dengan topiknya berkisarkan kepada kehidupan sehari-harian. Tiba-tiba terpacul dari mulut isteri saya,

"Sejak akhir-akhir ni abah banyak sangat merungut-rungut. Tak baik tau."

Aduh. Tatkala itu saya terasa satu lempangan yang sangat kuat hinggap di pipi saya. Adakah aku begitu? Aku mengajarkan isteriku supaya bersyukur. Aku ingin mendidik anakku supaya menjadi Muslim yang redha dengan qada' dan qadarnya. Aku mendidik hatiku supaya mengucapkan terima kasih setiap kali bangun tidur. Tetapi aku sendiri masih jauh dari jalan yang Allah redhai. Rupa-rupanya aku masih seorang manusia yang hina.

Merungut adalah suatu ungkapan yang tidak menunjukkan erti berterima kasih. Merungut menjadikan manusia pasif dengan ketentuan Allah. Merungut menjadikan seseorang sentiasa mempertikaikan ketentuan Allah. Merungut menunjukkan seseorang itu lemah, baik dari segi akal mahupun jasmaninya. Merungut tidak akan menyelesaikan sebarang masalah. Merungut membuatkan orang lain menjadi benci kepada kita. Merungut adalah suatu yang hina. Hina seperti saya yang suka merungut. Saya berazam mahu menjadi seorang yang lebih baik. Maafkan diriku Tuhan kerana mempertikaikan ketentuan-Mu. Sesungguhnya aku adalah insan yang hina di antara makhluk-makhluk-Mu yang lain.


11 comments:

a.samad jaafar said...

sahabat..
terasa malu pada diri bile teman baca satu persatu catatan ini.. teman ulang kali kedua.. teman makin malu.. teman berasa terhina..bukan bermaksud sahabat menghina teman.. tetapi mengenang diri yg jauhhh lebih hina drpd sahabat.. rasanya tidak perlulah teman bercerita mengapa teman berkata demikian.. mohon doakan teman juga 'kembali ke landasan-Nya'.. t kasih atas santapan rohani ini.. t kasih..

Rin said...

aku pun berazam nak jd better.pemergian arwah Jay tinggalkan kesan mendalam kt aku. harap bukanlah keinsafan sementara..

toyolkiut said...

berkaca mata TK bila membaca d perenggan terakhir..
terima kasih..

Anonymous said...

entahnya, tak baik merungut2 tau! itu sikap org tua aje. hehe. kenapa yeop, mcm tak bertenaga aje bunyinya. baguslah sudah pulang ke pangkal jalan. welkambek! moga istiqamah lah ye yeop.ameen...
-eda-

kelisa_samudera said...

sahabatku samad, jangan le mike berperasaan begitu. awok pecaye kamu jauh lagi baik dari awok. tapi tu le, oghang baik macam kamu mane nak mengaku baik. ye tak? kikikiki

rin : juga memberi kesan untuk aku. aku juga berharap perubahan aku bukanlah bersifat sementara.

tk : sama2. nape tk, tersentuh hati ke? ;P saya juga yakin tk sudah menemui jalan yang lurus.

eda : tu la kan? tak baik la saya ni. tapi betul jugak tu, sebab saya pun dah tua. kena la kuat merungut. kikikiki. :p

KiMi said...

demm. aku masih seperti selalu.

sahromnasrudin said...

assalamualaikum...

kiriman ini membuatkan saya kaget..terima kasih kerana mengejutkan saya dari lena yang panjang..semoga sdra terus dirahmati Allah SWT

kelisa_samudera said...

kimi :hang memang. hang jahat.

sahrom : terima kasih. kalo ada org yg benar2 terjaga kerana tulisan saya, tentunya saya rasa sangat berbangga.

Nailofar said...

Alhamdulillah..dalam dunia akhir zaman ni hendaknye masih ada kesedaran untuk kembali kepada NYA..

Terima kasih kerana mengingatkan diri ini yang masih alpa..:(

b.r.u.t.a.l.s.o.l.o said...

salam..
buat saya tersedar..thk

kelisa_samudera said...

nailofar : sama2. lama tak singgah sini.

brutalsolo : sama2. terima kasih kerana dtg ke blog saya. kalau ada masa saya akan singgah ke blog saudara.