01 March 2011

Sinar merah sebelum kelam


Menjelang maghrib adalah waktu yang paling nyaman dan sunyi. Ia akan bertambah sunyi sekiranya kita berseorangan di mana-mana sahaja, dan sunyi itu bukanlah disebabkan suasana yang diam dan sepi tetapi selalunya ia datang dari hati sendiri yang tiba-tiba merasa kesepian dan keseorangan. Bahkan jika kita berada di kotaraya Kuala Lumpur yang tidak pernah tidur, kesunyian waktu maghrib ketika berseorangan sentiasa sahaja menghantui kita hinggakan kadang-kadang hati terasa seperti bertanya-tanya mengapakah kesunyian ini tiba-tiba hadir di dalam diri kita yang sentiasa sibuk. Adakalanya kita membenci kesunyian itu kerana seperti pakej yang lengkap, ia datang dengan kepiluan dan kesedihan bahkan membawa kenangan-kenangan yang ingin kita tinggalkan.

Manusia begitulah. Tiada manusia yang tega mahu hidup di dalam kesunyian yang berpanjangan. Kesunyian yang keterlaluan bisa sahaja mengubah peribadi menjadi penyedih, tidak optimis dan menakutkan. Walaupun begitu, suka atau tidak kesunyian akan cuba juga mencelah-celah di dalam hati walaupun kita sentiasa mahu menyibuk-nyibukkan diri dengan urusan dunia yang tertangguh. Saya percaya kebanyakan dari kita pernah merasai kesunyian sebelum kelam, dan ia datang tidak pernah dengan undangan yang menyegarkan.

Di kala waktu maghrib menjelang, kita akan melihat sinar merah yang sirna di ufuk barat dan bergentayangan di serata alam. Bagaikan tiada peraturan yang berdisiplin, sinar ini sentiasa memenuhi langit dengan sulaman kelam-kelam gelap yang mendamaikan. Suasana sekeliling akan menjadi sunyi juga seolah-olah mahu menghormati detik-detik cantik ini dan beberapa ketika, ia akan hilang ditelan awan-awan kelam yang harmoni itu. Lalu di sana sini akan terdengar laungan takbir yang menggemakan hati, mengajak manusia untuk menyembah Allah yang Esa yang telah menghadirkan waktu maghrib tanpa malas setiap hari dalam kehidupan kita.

Sinar-sinar merah sebelum kelam ini sebenarnya menjadi perumpamaan yang abadi kepada kehidupan manusia sebelum mati. Kekuatan sinar yang mahu menjajah langit ini digambarkan kepada usaha manusia mengumpul saki baki kekuatan sebelum mati bagi memberitahu kepada orang lain bahawa dirinya bakal dijemput Ilahi. Walaupun cahayanya malap dan kelam, ia akan memenuhi seluruh pelusuk langit dan menyebarkan semangatnya sebelum semangat itu ditelan perlahan-lahan ke dalam malam yang sedang menunggu. Dengan sebab itu kita selalu melihat dan mendengar tentang menjelangnya kematian seseorang, dia seolah-olah menjadi sihat dan kuat bagaikan sakitnya sudah pergi buat selama-lamanya. Meskipun dia sudah terlantar selama bertahun-tahun, tidak makan dan minum dan hanya menunggu ajal menjemput, ada ketikanya dia akan bangun seolah-olah sudah sihat dan walafiat dan seakan memberi berita gembira kepada saudara-saudara yang sedang menunggu. Di kala itu, sedarlah kita bahawa dia sedang menyebarkan semangat merahnya di dada langit sebelum nyawanya diambil untuk ke alam seterusnya.

Mungkin sebahagian dari kita akan juga merasai detik itu. Namun ketakutan kita kepada kematian boleh sahaja menafikan diri sendiri, dan mendakwa bahawa kita akan hidup lebih lama dari itu. Tetapi percayalah, jika sekiranya kita dapat lepas dari detik ajal itu sekalipun, ajal tetap akan menggamit kita pergi di masa yang lain yang telah dijanjikan. Saya berdoa sepenuhnya kepada Allah supaya bekalan yang dibawa cukup untuk dibawa ke sana, kerana tiada lagi gunanya harta dan anak-anak yang comel apabila malam sudah menjelma.

10 comments:

toyolkiut said...

emm..
ufuk senja,kalau d rasa betul2 kan, angin berhembus masa tu sejuknya semacam je, tul tak?
peralihan siang antara malam..
bila dh makin dewasa ni, TK banyk fikir.. apa la guna harta bnyk2 yg TK cari dr pagi sampai malam tiap2 hari..
dan tertanya2 jg, mana arah hidup TK selama ni..

a.samad jaafar said...

sahabatku kelisa..
teringat pulak catatan saya yg bertajuk ' janji senja kepada malam'.. mike pernah bace kan..dalam kebanyakan masa..sebenarnya teman suka menyendiri.. dan teman ini barangkali seorang pemerhati.. dan ternyata, semakin usia berganjak..semakin sepi menyesak.. justeru, teman seboleh mungkin cuba belajar menghormati mereka yang lebih tua..

Anonymous said...

erm, rasa 'sunyi' pulak bila saya baca entry ni. mgkin sebab saya mengharapkan satira lagi dan lagi dan lagi.heheh. anyway, you sound so grown-up in this kind of writing. mimpi sedih kot mlm tadi ek? kih2..
-eda-

Nailofar said...

eh eh pandai lak en kelisa_samudera nih bermonolog puitis.hehe ada bakat..syabas!!

yg_indah said...

sekarang, senja pun manusia masih di pejabat.

MOH KEMBARA said...

Salam Yob Kelisa, sorang yg puitis miker ni. Tp mesej tu memang mendalam. Yong selalu fikirkan mati, Ya Allah...banyak belum bersedia!

sahromnasrudin said...

wah!!!monolog ini sgt menyentuh hati la..awak ada bakat menulis..tak nak kembangkan ia ke???

kelisa_samudera said...

TK : sahabatku TK, saya juga selalu tertanya2 tentang arah hidup. tapi saya rasa, kalau kita sudah tertanya-tanya ttg arah hidup, itu maknanya kita sudah jumpa jalannya. ada org tak pernah ttg arah itu, dan sudah tentu takkan berusaha untuk mencari.

samad : sahabatku samad, pertemuan dengan mike sekeluarga mmg amat bermakna sekali. mungkin selepas ini kita akan berjumpa lagi, dan harapnya ia akan lebih lagi mengeratkan persaudaraan kita.

eda : minta maaf kalau terkecewa. hehe. harap jgn serik ye dtg sini lagi. kalau saya idea yg baik, insya allah mungkin satira kembali menyusul. cumanya, satira bukanlah akar kepada asas blog ini.

nailofar : terima kasih banyak2. saya harap saya tak dilabel sebagai mat jiwang. :p

kelisa_samudera said...

yg indah : hermmm, dan aku terasa dengan tulisan ringkasmu.

moh kembara : terima kasih. tentu sahaja bila terfikirkan mati, kita akan selalu tidak bersedia. tapi nabi juga pernah berkata, org yg selalu berfikirkan tentang kematian ialah org yang bijak.

sahrom : terima kasih juga atas pujian yang baik itu. saya mengalu2kan cadangan tuan sahrom tentang bagaimana untuk mengembangkan bakat saya sebab saya rasa penulisan saya cuma biasa2 saja. tentu sekali saya berbangga blogger sehebat tuan sudi memuji saya.

toyolkiut said...

sangat tersentuh pada komen balas yg d beri..