25 December 2015

Fikir panjang sebelum bertindak

Ketika mula-mula bekerja hujung tahun 2007 yang lalu, pada masa itu perasan sudah punya wang sendiri maka saya bersama-sama teman wanita (sekarang sudah menjadi isteri) pergi ke sebuah kedai Toyota untuk melihat-lihat kereta baru. Pada masa itu Toyota Vios versi baharu baru saja dilancarkan yang orang sekarang gelarkan Vios Dolphin. Promosi pada masa itu agak agresif, dengan tahun baru yang menjelang maka diskaun diberikan untuk stok lama yang masih baru. Teruja juga. Tiada bayaran muka, bayaran bulanan yang saya kira boleh dijelaskan maka akhirnya tekad dibulatkan untuk memilikinya. Namun kekurangan dokumen kerana masih baru saja dilantik, maka saya perlu mendapatkan surat pengesahan pelantikan jawatan dari jabatan yang sedang saya bekerja pada masa itu. Saya berjanji kosong kepada peniaga itu yang saya akan datang minggu depan selepas mendapat dokumen yang dimaksudkan. 

Takdir Tuhan telah menentukan. Pada 26 Disember 2007 saya pergi ke pejabat untuk mendapatkan dokumen tetapi pegawai berkenaan telah bercuti sehingga hujung tahun. Dan pada masa itu saya sibuk dengan hal lain maka hasrat memiliki kereta itu dilupakan walaupun pada awalnya saya sudah beria-ia untuk mendapatkannya. Selepas itu selama hampir 5 tahun saya tidak mempunyai impian untuk membeli kereta baru sehinggalah terasa bahawa kewangan sudah cukup stabil dan keluarga juga sudah bertambah besar. Sehingga sekarang saya masih teringat-ingat babak hidup itu. Saya mengakui agak terburu-buru apabila memutuskan untuk membeli kereta itu kerana pada masa itu saya masih belum punya wang, belum berkahwin dan tentulah dengan tiada bayaran muka maka bayaran bulanan akan menjadi tinggi. Mujurlah Tuhan bukakan hati pegawai yang mengendalikan dokumen itu untuk pergi bercuti. Jika tidak saya akan memiliki sebuah kereta yang mempunyai 5 tempat duduk berbanding 7 tempat duduk yang dimiliki sekarang. 

Satu lagi peristiwa membuat keputusan terburu-buru adalah ketika saya terjebak di dalam skim cepat kaya sekitar tahun 2010 yang lalu. Oleh kerana tidak berfikir panjang, ingin kaya cepat dan malas bekerja makan gaji maka Allah telah menguji saya dengan kerugian kewangan. Sehingga sekarang saya masih terpaksa membayar pinjaman yang sia-sia kerana sikap terburu-buru tanpa memikirkan kesan jangka panjang. Walaupun akhirnya saya bersyukur kerana ujian ini tidaklah menyebabkan kejatuhan yang teruk, namun sikap terburu-buru itulah punca kita terjebak dengan keadaan yang tidak menguntungkan. Apalah salahnya duduk diam dan berfikir dahulu masak-masak sebelum membuat sebarang keputusan, kerana kesannya kelak mungkin sangat besar kepada diri kita dan keluarga. Biarlah lambat membuat keputusan dan terlepas peluang-peluang berharga dari akhirnya kita rugi terus sepanjang umur. 

Banyak lagi sebenarnya peristiwa yang tidak elok apabila membuat keputusan secara tidak rasional. Sama ada ia memberikan kesan buruk yang besar atau kecil, sikap ini tidaklah bagus ketika membuat keputusan. Untuk membuat keputusan kita haruslah banyak berfikir, mempertimbangkan semasak-masaknya lebih-lebih lagi jika keputusan itu melibatkan pihak lain. Jika mudaratnya diterima oleh kita seorang bolehlah lagi menyesali secara diam-diam, tetapi jika mudaratnya menjangkiti orang lain kita bukan sahaja menyesali nasib diri malah orang lain pun tidak akan percaya kepada kita lagi. 

24 December 2015

Permulaan



Saya masih ingat ketika minggu-minggu pertama saya bersekolah di salah sebuah sekolah di Klang, hati tertanya-tanya tentang bagaimana mahu keluar pada hujung minggu persekolahan. Adakah dengan menaiki bas yang selalu lalu di depan sekolah, dan kemudian bas itu akan pergi ke mana? Adakah saya boleh pergi ke Bandar Klang dengan bas tersebut? Bagaimana jika tersesat? Dan apabila kali pertama saya mendapat peluang keluar hujung minggu dengan rakan-rakan, kami menaiki bas yang sentiasa lalu lalang itu dan terus sampai ke Bandar Klang. Oh, mudah sahaja rupanya. Selepas itu pergi ke Bandar Klang tidak perlu berteman, malah sehingga ke Kuala Lumpur juga saya pandai pergi berseorangan. 

Hal yang sama berlaku ketika saya bekerja di Bandar Baru Bangi pada tahun 2008 dahulu ketika hari-hari pertama berulang alik dari Gombak dan keluar pada pukul 6.00 pagi. Setibanya di Bangi saya merasakan hari masih awal dan mengambil peluang untuk berjalan-jalan terlebih dahulu sebelum masuk ke pejabat. Dan tiba-tiba pula saya melalui satu jalan yang sungguh asing hinggakan saya merasa panik kerana takut tidak sempat pula masuk pejabat pada pukul 8.00 pagi. Setelah beberapa minggu terutamanya selepas berpindah ke Bangi, jalan-jalan yang membuatkan saya panik sebelum itu rupanya adalah terlalu mudah sehingga saya sendiri tidak faham mengapa saya boleh tersesat.

Hidup ini sebenarnya begitu. Apabila kita sedang berada di suatu alam yang masih asing, kita akan mudah menjadi panik dan sesat. Bahkan alam itu terasa terlalu luas sehingga kita terasa tidak mampu untuk mengawal keadaan. Walaupun begitu, kita harus percaya apabila alam itu sudah dapat kita jejaki untuk beberapa ketika, rupa-rupanya ia tidaklah sukar seperti yang mula-mula kita rasakan. Cumanya kita sendirilah yang harus menyesuaikan keadaan dengan alam yang baru kita jejaki dan tidak bersifat ego atau serba tahu. Seperti dua contoh yang saya maksudkan tadi, kes pertama adalah ketika saya menaiki bas manakala kes kedua adalah dengan menaiki kereta. Maka saya tidak boleh menggunakan pengalaman menaiki bas untuk diaplikasikan ketika saya memandu kenderaan sendiri kerana ia tidak akan sama langsung. Maka saya terpaksa menyesuaikan keadaan dengan ketika saya memandu kereta pula. 

Saya percaya apa yang penting ketika kita mula-mula menjejaki alam yang baru adalah dengan mengikut arus yang telah sedia ada. Jika kita menyongsang arus akibat kedegilan kita sendiri sebenarnya kita telah mencipta musuh baru yang tidak perlu, malah mencipta musuh di kawasan yang kita tidak biasa pun. Bermulalah perlahan-lahan, maka selepas itu jika kita ingin menyongsang pun biarlah selepas ilmu dan bijaksana sudah ada.

16 December 2015

Susah yang tidak sukar (2)



Ketika menulis coretan ini, sudah tiga minggu berturut-turut saya berulang alik ke Lembah Klang untuk melawat isteri dan anak-anak saya. Sukar juga rasanya untuk membiasakan diri memandangkan saya terpaksa membahagikan masa dengan baik di antara kerja pejabat dan keinginan untuk bertemu mereka, namun digagahkan juga. Saya mahu berpegang kepada prinsip biarlah susah, kerana susah ini tidak lama. Lama kelamaan ia akan menjadi mudah, tetapi jika tidak menjadi mudah pun haraplah supaya pengorbanan ini menjadi modal untuk membela diri di hadapan Tuhan nanti. Saya ingin menjadi suami yang baik, bapa yang penyayang dan pekerja yang berdedikasi, maka oleh itu hendak tidak hendak perlulah saya bijak mengendalikan keadaan ini.

Menggunakan pengangkutan awam, itulah modus operandinya. Kadang-kadang menaiki bas tetapi lebih kerap pula menggunakan keretapi. Ketika saya belajar di sana lebih kurang 10 tahun yang lalu menaiki bas sudah menjadi lumrah untuk pulang ke kampung, namun suasana itu sudah lama saya tinggalkan sejak bekerja di negeri Perak ini. Mungkin sahaja Allah ingin mengembalikan kenangan manis manis pahit itu kepada saya, lalu diberikan ujian ini sebagai kesempatan untuk saya mengimbau kembali kenangan lalu. Namun kali ini saya sulam-sulamkan dengan pengangkutan keretapi yang lebih selesa dan mudah, kerana badan yang tua ini sudah tidak berdaya lagi menanggung lambung-lambung bas ketika ia dipandu. 

Pernah di dalam satu hujung minggu saya menaiki bas untuk pergi dan balik ke sana, dan badan menjadi sangat letih lesu sehingga terpaksa datang lewat ke tempat kerja. Lebih lagi secara kebetulannya bas yang saya naiki untuk pulang ke sini rosak di tengah jalan, dan penumpang-penumpang terpaksa menunggu hampir 2 jam di tepi lebuh raya untuk mendapatkan bas ganti. Saya menaiki bas pada pukul 7.30 malam dan tiba pada pukul 5.00 pagi, dan ketika itu badan saya sakit-sakit hampir 3 hari lamanya. Barulah saya mengerti bahawa kudrat saya sudah semakin kurang, jika pada masa belajar dahulu menaiki bas baik-baik sahaja tetapi sekarang tidak lagi. 

Banyak yang saya belajar sepanjang beberapa minggu kebelakangan ini. Kadang-kadang rasa seperti mahu menangis apabila mengenangkan kasih Allah yang terlalu tinggi kepada saya dan keluarga. Di dalam susah-susah kami berpisah jauh ini ada juga Allah meletakkan manis-manis di celah-celahnya sehingga saya sendiri tidak dapat membezakan mana satu aspek yang menyusahkan dan mana satu aspek yang memudahkan. Mungkin benarlah, kita melihat dunia ini melalui kaca mata yang kita ciptakan sendiri. Jika kita sendiri berfikiran positif, maka apa yang berlaku di dalam ruang lingkup kehidupan kita akan menjadi positif walaupun orang melihatnya nampak negatif. Begitu jugalah sebaliknya. Saya mengucapkan terima kasih kepada Allah kerana memberi akal yang positif untuk saya menempuh cabaran.

Terima kasih juga kepada Tuhan yang telah memberi keluarga kami ujian yang kecil ini. Dengan ujian ini saya kembali sedar kadang-kadang kita perlu merasa susah supaya kita ingat asal usul kita yang hina ini, dan dengan peringatan itu kita tidak akan berasa sombong atau bangga diri.

14 December 2015

Susah yang tidak sukar



Isteri saya baru sahaja dinaikkan pangkat di dalam perkhidmatannya. Saya mengucapkan syukur kepada Allah kerana dengan kenaikan pangkat ini maka tentu sahaja dia melangkah setapak lagi di dalam kemajuan kerjayanya. Lagi pula, bolehlah juga saya menumpang tuah gajinya yang naik itu serba sedikit. Namun begitu masalah lain pula timbul. Dia dipindahkan ke Putrajaya. Ahhh, bab inilah yang membuatkan saya sedikit kaget kerana terpaksa berpisah dengan beliau dan anak-anak.

Hati saya terlalu gundah. Di sana tidak seperti pekan yang saya duduki sekarang yang penuh dengan kedamaian. Kebanyakan orang saling mengenali, malah ke mana-mana sahaja terlalu mudah baik ke pasaraya, tempat kerja, tadika anak atau taman permainan. Di sana keadaannya sungguh berlainan. Tidak ada lagi rasa persaudaraan bahkan masing-masing hanya memikirkan tentang diri mereka sahaja. Saya lebih risaukan keadaan anak-anak yang entah tidak ketahuan nasib mereka. Walaupun saya percaya isteri saya dapat menjaga mereka dengan baik namun agak sukar juga meletakkan sepenuhnya kepercayaan itu memandangkan saya sudah faham padang permainan Lembah Klang.

Lalu saya lepaskan mereka dengan sungguh berat tetapi tidak putus-putus berdoa supaya diberikan kemudahan di dalam urusan kami. Mungkin sebenarnya ujian ini menginsafkan saya tentang keadaan kami yang tidak akan pernah dapat lari dari kekuasaan-Nya. Pada hari pertama saya meninggalkan mereka di sana, tidak terdaya rasanya menghadapi ujian ini apatah lagi apabila mengenangkan yang saya akan sungguh-sungguh merindui mereka. Ketika saya pulang ke pekan kecil tempat saya diami, hati merasa sungguh kosong tanpa kelibat mereka disisi.