23 August 2009

Pejabat SPRM dalam kenangan


Selepas PRU ke-12 Mac 2008, kerajaan negeri Selangor bertukar pemimpin dari Barisan Nasional ke Pakatan Rakyat. Di daerah tempat saya bekerja, semua Ahli Dewan Undangan Negeri memihak kepada Pakatan Rakyat, maka ADUN-ADUNnya semua bertukar. Apabila berlakunya pertukaran kerajaan negeri, seperti biasa orang-orang politik ini, mereka seboleh-bolehnya akan mencari kelemahan dan kepincangan orang-orang lama demi modal politik mereka. Tidak terkecuali bahangnya terkena juga dengan jabatan tempat saya berkhidmat.

Pejabat SPRM sudah popular di mata saya sejak PRU 12 itu lagi. Saya pernah mengunjungi pejabat SPRM di Plaza Masalam itu. Saya dipanggil sebanyak 2 kali bagi membantu siasatan ke atas bekas seorang ADUN yang didakwa menggelapkan wang sebanyak beberapa ribu ringgit. Apabila saya mengimbas kembali dokumen-dokumen berkenaan, kemungkinan untuk penyalahgunaan kuasa memang ada. Hakikatnya saya tidak tahu samada wang itu disalahguna atau tidak. Tetapi, kemungkinan untuk terjadi penyalahgunaan wang itu memang ada.

Saya dipanggil sebanyak 2 kali. Kali pertama pada hari Jumaat, tetapi saya sudah lupa akan tarikhnya. Selepas menunaikan solat Jumaat, saya dibawa masuk ke dalam bilik pegawai penyiasat dan saya menceritakan apa yang saya tahu. Pegawai penyiasat yang menemuduga saya itu seorang perempuan, di dalam baya-baya saya juga. Percakapannya ramah dan lembut, mungkin kerana saya sebagai saksi dan bukan pesalah. Selesai disiasat pada pukul 6 petang, saya terus menuju pulang ke kampung halaman kerana ada kenduri arwah. Soal-siasat itu mengambil masa lebih kurang 3 jam. Sebelum saya keluar dari bilik itu, sempat juga saya bersembang mengenai karier pegawai penyiasat tersebut, malah cerita-cerita sehingga ke mana tempat dia tinggal dan sudah berapa ramai anak yang dia ada.

Kali kedua lebih lama. Kali ini ketika dalam perjalanan pulang dari kampung (saya mengambil cuti hari Isnin), saya mendapat panggilan telefon untuk datang ke pejabat itu seberapa segera. Saya terus menekan minyak laju-laju untuk segera sampai ke Shah Alam. Pegawai yang menelefon saya mengatakan bahawa saya boleh sahaja datang pada keesokan hari, tetapi kerana sikap saya yang gelabah untuk disiasat dan ingin membantu dengan seberapa daya, saya cepatkan juga perjalanan. Kali ini saya diminta untuk membaca setiap helaian keterangan supaya dapat dijadikan bukti bertulis. Hampir 1000 muka surat semuanya. Saya selesai lebih kurang pukul 9 malam. Itu sudah mengambil masa selama 6 jam. Kali ini pegawai yang mengiring saya ialah seorang lelaki. Seperti pegawai wanita sebelum ini, orangnya peramah dan mudah membantu.

Sehingga hari ini kes itu sudah tidak kedengaran khabar berita. Mungkin ditutup, tiada bukti atau apa saya sendiri tidak tahu. Hanya SPRM yang lebih mengetahui.

Hari ini pejabat SPRM itu kembali popular. Bukan sahaja di mata saya, tetapi seluruh mata masyarakat Malaysia bertumpu di situ. Setiap hari orang ramai menunggu apakah yang bakal terjadi dengan siasatan inkues Teo Beng Hock. Ada pula sudah keluar di blog-blog tentang surat misteri dari orang dalam SPRM sendiri.

Mujurlah saya bukan ahli politik. Jika tidak, mungkin jasad saya pula yang berbaring di situ. Kepada keluarga mendiang Teo Beng Hock, bersabarlah menghadapi dugaan. Kepada orang-orang yang diberikan amanah untuk menjalankan tugas yang sepatutnya, saya menyeru supaya laksanakanlah amanah dengan baik kerana Allah lebih mengetahui segala-galanya berbanding kita.

2 comments:

yg_indah said...

puhhhh nasib hg mmg baik...baca 1000muka?itu lah penderaan,walaupun dengan kerelaan.

Seorang Bukan Sasterawan said...

nasib baik betul hang..kalau tidak skrg ni mst kalut jadi inques hang hahaha..