18 December 2010

Bila kenangan bertandang



Sejak akhir-akhir ini, kenangan kehidupan lampau sentiasa sahaja menjengah jadual harian saya yang sudah sedia sibuk. Saya mengakui saya agak sentimental sehingga sifat sentimental ini terterjemah di dalam blog saya, tetapi kenangan-kenangan yang lalu bagaikan sibuk pula untuk menyelitkan diri di dalam senggang masa itu. Mungkin sudah tiba masanya untuk saya melayan kenangan yang hadir ini sebagai cerminan kepada keperibadian saya, dan tentunya kenangan itu harus dijadikan iktibar untuk meneruskan kelangsungan hidup di dalam dunia yang lebih baru. Terima kasih di atas kenangan itu dengannya membuatkan saya sentiasa berhati-hati.

Saya percaya kebanyakan orang akan sentiasa menghargai kenangan hidup mereka. Dengan mengingati dan menghargai kenanganlah membuatkan kita percaya di mana kita sepatutnya berada sekarang. Ada orang yang tidak suka apabila mengimbau kembali kenangan mereka mungkin kerana malu dengan kekurangan yang ada, tetapi percayalah mereka pastinya akan menyesal kerana tidak mengingatinya. Langkah kehidupan kita ibarat suatu permainan domino yang indah. Jika satu keping dikeluarkan tentunya ia tidak akan lengkap dan cantik.

Saya sentiasa percaya setiap orang akan melalui kenangan hidup yang berbeza dengan orang lain. Hatta sepasang anak kembar yang tidak berpisah sekalipun akan mempunyai pengalaman yang tidak sama. Jika pun kemana-mana sahaja mereka sentiasa berdampingan, tetapi mereka mempunyai soal hati yang berbeza. Mungkin salah seorang sedang gembira tetapi pasangannya sedang berduka. Bukankah itu tidak sama? Orang lain tidak boleh sesekali mengakui bahawa perjalanan hidup mereka lebih indah dari kita. Walaupun hidup mereka dititip intan berlian, melancong ke luar negara setiap masa, disayangi ibu dan bapa dan mereka telah merasa segala kenikmatan dunia, belum tentu pengalaman mereka lebih berharga dari apa yang kita pernah alami. Saya pernah berpeluang bergaul dengan orang-orang kaya yang tidak punya masalah dengan kewangan, tetapi saya tahu hidup mereka tidak pernah seindah kehidupan saya.

Saya mahu menyayangi semua kenangan saya. Saya berdoa kepada Allah supaya biarkanlah kenangan itu sentiasa datang kepada saya sebagai teman yang paling setia. Biarpun ia adalah kenangan yang pahit, manis, masam, kelat dan sebagainya, ia tetap kenangan diri saya yang terindah. Kenangan pahit manis menjadi anak yatim, takut dimarahi ibu kerana lambat pulang, kecewa kerana putus cinta, berjalan-jalan di Chow Kit bersama rakan-rakan, bangun lambat kerana bermain futsal di sebelah malam, gementar kerana ibu dimasukkan ke hospital, kecewa kerana gagal dalam peperiksaan, gembira kerana adik telah berjaya, malu kerana bersikap terburu-buru dan sebagainya. Merekalah kenangan saya. Merekalah teman setia saya. Merekalah ibarat susunan gambar yang sempurna untuk gambaran diri saya.

Kenangan, datanglah. Saya akan sentiasa menanti dengan penuh rela. Terima kasih Allah di atas kenangan terbaik buat diriku. Suatu hari nanti aku akan mengadap-Mu dengan kenangan ini semoga kenangan ini akan membantuku kelak di hadapan-Mu.

7 comments:

a.samad jaafar said...

membaca atatan ini seolah-olah ia hasil tangan teman.. maksud teman, kita berkongsi 'rasa', pengalaman dan pandangan yang sama..

yg_indah said...

kalau dengar lagu MI-2 aku teringat matrik.sebab lagu tu popular waktu kita masuk matrik.

kelisa_samudera said...

samad : kadang2 ada manusia yang hatinya sama sentimental. mungkin macam kita berdua. hihihi

yg indah : itu masa masuk matrik. coldplay - fix you & awie - iris mengingat aku pada final sem. tika semua rakan2 termasuk hang dah grad tinggal aku sorang. dengar 2 lagu ni buatkan aku rasa syahdu.

p/s : SBS, GM dan insan biasa dah lama koma. hang dah nak ikut jejak depa ka?

eMMe said...

mmg byk kenangan pahit manis yg tak mungkin kite lupakan, kenangan itu dtg bile mana kite ke sesuatu tempat yg buat kite tibe2 teringat kenangan lama/lampau...sedih kadangkala mengingat kembali kenangan itu, n tersedar bahawa itu hanya kenangan lalu...biarlah berlalu...yg kini, kite ciptalah kenangan Indah....

toyolkiut said...

semakin panjang usia, semakin banyak kenangan merantai jiwa..
walau sebahagian tidak mampu dicerita, namun imbauan yang ada mangigatkan yang kita masih bernyawa..

atbk said...

hoi!!
ayat2 kau sedaplah!!
demm!

;p

kelisa_samudera said...

emme : semoga kenangan terindah tercipta untuk kita semua. walaupun ia adalah yg pahit. ;)

toyol : yer. tepat sekali. selamat dtg ke blog saya yg sederhana ni.

atbk : erkkkk ye ke? sejujurnya aku rasa macam sumthing hilang dalam gaya penulisan aku.