16 December 2015

Susah yang tidak sukar (2)



Ketika menulis coretan ini, sudah tiga minggu berturut-turut saya berulang alik ke Lembah Klang untuk melawat isteri dan anak-anak saya. Sukar juga rasanya untuk membiasakan diri memandangkan saya terpaksa membahagikan masa dengan baik di antara kerja pejabat dan keinginan untuk bertemu mereka, namun digagahkan juga. Saya mahu berpegang kepada prinsip biarlah susah, kerana susah ini tidak lama. Lama kelamaan ia akan menjadi mudah, tetapi jika tidak menjadi mudah pun haraplah supaya pengorbanan ini menjadi modal untuk membela diri di hadapan Tuhan nanti. Saya ingin menjadi suami yang baik, bapa yang penyayang dan pekerja yang berdedikasi, maka oleh itu hendak tidak hendak perlulah saya bijak mengendalikan keadaan ini.

Menggunakan pengangkutan awam, itulah modus operandinya. Kadang-kadang menaiki bas tetapi lebih kerap pula menggunakan keretapi. Ketika saya belajar di sana lebih kurang 10 tahun yang lalu menaiki bas sudah menjadi lumrah untuk pulang ke kampung, namun suasana itu sudah lama saya tinggalkan sejak bekerja di negeri Perak ini. Mungkin sahaja Allah ingin mengembalikan kenangan manis manis pahit itu kepada saya, lalu diberikan ujian ini sebagai kesempatan untuk saya mengimbau kembali kenangan lalu. Namun kali ini saya sulam-sulamkan dengan pengangkutan keretapi yang lebih selesa dan mudah, kerana badan yang tua ini sudah tidak berdaya lagi menanggung lambung-lambung bas ketika ia dipandu. 

Pernah di dalam satu hujung minggu saya menaiki bas untuk pergi dan balik ke sana, dan badan menjadi sangat letih lesu sehingga terpaksa datang lewat ke tempat kerja. Lebih lagi secara kebetulannya bas yang saya naiki untuk pulang ke sini rosak di tengah jalan, dan penumpang-penumpang terpaksa menunggu hampir 2 jam di tepi lebuh raya untuk mendapatkan bas ganti. Saya menaiki bas pada pukul 7.30 malam dan tiba pada pukul 5.00 pagi, dan ketika itu badan saya sakit-sakit hampir 3 hari lamanya. Barulah saya mengerti bahawa kudrat saya sudah semakin kurang, jika pada masa belajar dahulu menaiki bas baik-baik sahaja tetapi sekarang tidak lagi. 

Banyak yang saya belajar sepanjang beberapa minggu kebelakangan ini. Kadang-kadang rasa seperti mahu menangis apabila mengenangkan kasih Allah yang terlalu tinggi kepada saya dan keluarga. Di dalam susah-susah kami berpisah jauh ini ada juga Allah meletakkan manis-manis di celah-celahnya sehingga saya sendiri tidak dapat membezakan mana satu aspek yang menyusahkan dan mana satu aspek yang memudahkan. Mungkin benarlah, kita melihat dunia ini melalui kaca mata yang kita ciptakan sendiri. Jika kita sendiri berfikiran positif, maka apa yang berlaku di dalam ruang lingkup kehidupan kita akan menjadi positif walaupun orang melihatnya nampak negatif. Begitu jugalah sebaliknya. Saya mengucapkan terima kasih kepada Allah kerana memberi akal yang positif untuk saya menempuh cabaran.

Terima kasih juga kepada Tuhan yang telah memberi keluarga kami ujian yang kecil ini. Dengan ujian ini saya kembali sedar kadang-kadang kita perlu merasa susah supaya kita ingat asal usul kita yang hina ini, dan dengan peringatan itu kita tidak akan berasa sombong atau bangga diri.

14 December 2015

Susah yang tidak sukar



Isteri saya baru sahaja dinaikkan pangkat di dalam perkhidmatannya. Saya mengucapkan syukur kepada Allah kerana dengan kenaikan pangkat ini maka tentu sahaja dia melangkah setapak lagi di dalam kemajuan kerjayanya. Lagi pula, bolehlah juga saya menumpang tuah gajinya yang naik itu serba sedikit. Namun begitu masalah lain pula timbul. Dia dipindahkan ke Putrajaya. Ahhh, bab inilah yang membuatkan saya sedikit kaget kerana terpaksa berpisah dengan beliau dan anak-anak.

Hati saya terlalu gundah. Di sana tidak seperti pekan yang saya duduki sekarang yang penuh dengan kedamaian. Kebanyakan orang saling mengenali, malah ke mana-mana sahaja terlalu mudah baik ke pasaraya, tempat kerja, tadika anak atau taman permainan. Di sana keadaannya sungguh berlainan. Tidak ada lagi rasa persaudaraan bahkan masing-masing hanya memikirkan tentang diri mereka sahaja. Saya lebih risaukan keadaan anak-anak yang entah tidak ketahuan nasib mereka. Walaupun saya percaya isteri saya dapat menjaga mereka dengan baik namun agak sukar juga meletakkan sepenuhnya kepercayaan itu memandangkan saya sudah faham padang permainan Lembah Klang.

Lalu saya lepaskan mereka dengan sungguh berat tetapi tidak putus-putus berdoa supaya diberikan kemudahan di dalam urusan kami. Mungkin sebenarnya ujian ini menginsafkan saya tentang keadaan kami yang tidak akan pernah dapat lari dari kekuasaan-Nya. Pada hari pertama saya meninggalkan mereka di sana, tidak terdaya rasanya menghadapi ujian ini apatah lagi apabila mengenangkan yang saya akan sungguh-sungguh merindui mereka. Ketika saya pulang ke pekan kecil tempat saya diami, hati merasa sungguh kosong tanpa kelibat mereka disisi.

04 January 2015

Zaman sudah berubah



Saya bersekolah rendah di sekolah kampung. Rata-rata dari kami beribubapakan seorang penoreh getah, pesawah, pekerja am atau kerja-kerja kampung sahaja. Jika ada yang ibu bapanya sedikit 'berprestij' mungkin seperti ibu saya yang bekerja sebagai guru. Begitulah. Kehidupan di kampung serba sederhana. Jika seseorang murid itu berpakaian agak kemas dan jenis kain sekolah yang licin, kami boleh meneka bahawa ibu bapanya bekerja sebagai guru. Tiada istilah jurutera, doktor, pengurus ladang, pegawai tinggi kerajaan atau apa-apa sahaja yang kedengaran hebat. 

Dengan sebab itulah kami tidak terbuka dengan dunia luar ditambah pula pada masa itu tiada internet yang boleh membuka minda kami. Jika seseorang murid baru sahaja pulang dari bercuti di Kuala Lumpur atau Taiping, itu sudah benar-benar membuatkan kami teruja mendengar cerita mereka. Saya masih ingat ada seorang rakan saya pergi ke Kuala Lumpur kerana bapanya dimasukkan ke hospital besar, maka diceritakanlah pengalamannya yang 'bukan-bukan' seperti melihat pemandu tanpa kepala pada waktu malam, ketakutan dikejar hantu, tidak boleh tidur kerana bunyi bising kenderaan dan sebagainya. Kami sangat teruja. 

Sehingga pada suatu hari kami mendengar khabar seorang lagi kawan baru pulang dari Indonesia. Rupa-rupanya beliau memang mempunyai darah keturunan dari negara jiran itu dan mereka sekeluarga baru pulang dari menziarahi sanak saudara yang melangsungkan perkahwinan. Pada masa itu tahap kekaguman bukan lagi dibuat-buat. Pada minda kami tertanya-tanya bagaimanalah perasaannya menaiki kapal terbang, apa yang mereka buat di sana, bagaimana mereka berbicara dan berapa banyaklah wang di dalam akaun ibu bapa kawan kami itu yang membolehkan dia pergi ke Indonesia. 

Hari ini keadaan sudah banyak berubah. Jika seseorang anak kecil bersama keluarganya baru pulang dari bercuti terutamanya dari negara-negara Asean, ia bukanlah suatu keterujaan lagi. Di sebalik kekangan kewangan oleh rakyat Malaysia terutamanya peningkatan harga barangan dan cukai, kita masih lagi mempunyai cukup kewangan untuk berlibur. Tidak ada lagi istilah kagum kepada rakan-rakan yang bercuti jauh, malah kadang-kadang agak bosan juga melihat cerita-cerita mereka yang klise. Malah anak saya yang masih kecil-kecil juga sudah berpeluang beberapa kali menaiki kapal terbang ke luar negara. Acapkali juga ketika di dalam penerbangan saya melihat wajah-wajah gembira mereka, lalu saya mendetik di dalam hati betapa beruntungnya kerana saya tidak punya peluang seperti ini ketika kami masih kecil. 

Begitulah, kita tidak dapat meramal pada masa hadapan. Entah bagaimanalah agaknya nanti keadaan apabila saya sudah tua. Mungkin pada masa itu saya bersarapan dengan anak dan cucu saya, kemudian menjelang makan malam mereka menceritakan bahawa mereka baru sahaja pulang dari Turki untuk menikmati kebab makan tengah hari. Mungkin. Saya pun tidak tahu. 

31 December 2014

Selamat tinggal 2014

Kurang satu jam sahaja lagi 2014 akan melabuhkan tirainya dengan meninggalkan cerita yang penuh warna warni. Tahun 2014 adalah tahun yang agak mencabar bagi ramai orang terutamanya kita sebagai rakyat Malaysia yang diuji dengan segala macam ujian. Ia bermula dengan kehilangan kapal terbang, pergolakan politik yang tidak pernah padam sehinggalah ditutup dengan banjir yang besar juga, mungkin yang paling besar di dalam sejarah.

Saya juga tidak terkecuali dari ujian pada tahun ini. Memang pada penghujung tahun 2013 dahulu saya sudah menjangkakan bahawa 2014 adalah tahun yang agak kritikal, dan ianya terbukti menjadi begitu. Bapa mertua saya meninggalkan kami buat selama-lamanya pada Oktober tahun ini kerana penyakit kanser, dan kebetulannya ramai orang yang saya kenali juga pergi dengan cara yang sama. 

Namun di sebalik cerita duka 2014, saya dikurniakan rezeki anak yang ketiga pada Ogos yang lalu. Mudah-mudahan anak ini tega menghadapi cabaran yang mendatang seperti teganya dia yang ingin lahir pada tahun yang sukar. Selamat datang 2015, hapuskan air mata kami dan hadirlah dalam bentuk yang baru. Ramai dari kami ingin melupakan 2014 yang payah, semoga 2015 menjadi cahaya yang indah buat kami semua.