02 September 2010

Gajah, Planter's Heaven dan Emerald West


Kubu Gajah, Batu Gajah, Padang Gajah dan Kampung Gajah ialah beberapa tempat di negeri Perak yang menggunakan nama gajah. Saya kurang pasti ada tempat lain yang menggunakannya, tetapi sepanjang pengembaraan saya, inilah yang dapat saya ketahui. Dua tempat daripadanya merupakan daerah pentadbiran iaitu Kampung Gajah dan Batu Gajah.

Disebabkan terlalu banyak tempat yang menggunakan nama gajah di sini, saya merasakan gajah mendapat pengiktirafan yang istimewa daripada penduduk negeri Perak. Malah penyakit kaki gajah yang pertama di Malaysia juga dikenalpasti bermula dari negeri ini. Ia tidaklah begitu mengejutkan apabila melihat kepada struktur geografi, negeri ini mempunyai gunung ganang dan hutan belukar yang pelbagai yang menjadikan ia habitat yang sesuai untuk makhluk ini. Jika bernasib baik, kita dapat bertembung dengan gajah ketika menyusuri Lebuhraya Timur Barat yang menghubungkan Grik dengan Jeli. Di Hutan Simpan Belum di Daerah Hulu Perak, bertembung dengan gajah bukanlah sesuatu yang menghairankan. Malah pekan kecil seperti Lenggong juga merekodkan kehadiran gajah di beberapa perkampungannya.

Orang-orang zaman dahulu kebiasaannya akan menamakan sesebuah tempat mengikut apa yang mudah didapati atau terjadi sesuatu peristiwa yang pelik di situ. Kita dapat melihatnya melalui penamaan Kota Melaka, Alor Setar, Kuala Lumpur dan sebagainya. Jika kita mengikut konsep penamaan tempat ini kepada negeri Perak, maka kita akan mendapati bahawa gajah memang mudah didapati di negeri Perak.

Suatu masa dahulu keadaannya memang begitu. Orang-orang kampung yang 'bodoh' ini akan menamakan sesuatu mengikut apa yang mereka lihat. Tetapi orang-orang sekarang yang 'cerdik' menamakan sesuatu tempat bukan lagi kerana kebiasaan sesuatu kejadian, tetapi 'lebih kepada main ikut sedap mulut'. Sesiapa yang melalui Lebuh Raya Utara Selatan dari Port Dickson hingga ke Rawang akan mengerti apa yang saya maksudkan. Bermula dari Bandar Springhill, Planter's Heaven, Bandar Bukit Mahkota, Cyberjaya sehinggalah ke Valencia dan Emerald West/East, segalanya membuatkan lidah saya tidak selesa.

Rasanya rakyat Malaysia sudah semakin malu untuk menamakan sesuatu yang cenderung kepada suasana Malaysia. Mungkin mereka merasakan bahawa menamakan sesuatu tempat dengan nama barat akan menjadikan pemikiran penduduknya lebih murni dan maju. Kemungkinan juga menamakan Valencia di Rawang akan menjadikan kawasan itu lebih sejuk seperti cuaca di Valencia, Sepanyol. Atau menamakan Cyberjaya boleh membuatkan penduduknya lebih berfikiran ke arah kemajuan daya teknologi berasaskan internet.

Sekarang perumahan-perumahan baru tidak lagi menggunakan nama Melayu. Taman Rowther, Gombak dan Bandar Baru Botani, Ipoh (sekadar menamakan beberapa tempat) adalah beberapa contoh yang menampakkan tabiat ini. Semuanya dikiblatkan kepada barat seolah-olah kita sekarang menjadi sebahagian dari benua Eropah. Suatu masa dahulu apabila nama Shah Alam, Bandar Baru Uda, Putrajaya atau Bandar Darul Aman diisytiharkan sebagai nama tempat, ia masih lagi boleh diterima kerana masih bercirikan Malaysia. Suatu masa nanti jangan terkejut pula jika hutan di kampung anda dinamakan sebagai East New York atau New Manchester.

Kecerdikan manusia sebenarnya begitulah. Lebih suka menjahanamkan dari memperbetulkan. Selepas itu kita akan merungut bahawa bahasa kita sudah semakin mundur dan menyalak ke sana sini tanpa menyalahkan diri sendiri. Menuding jari memang mudah, semudah menamakan sesuatu kawasan.

2 comments:

Anonymous said...

Orang Melayu suka berbanggan dengan apa yang ada pada orang lain.

Anonymous said...

Persoalannya, kenapa orang Melayu malu dengan bangsa dan bahasa mereka sendiri?