14 December 2010

Apa mereka boleh buat?


14 Disember 2010, Azlan Lazim iaitu bapa kepada 'personaliti' terkenal negara, Saiful Bukhari Azlan telah menghantar surat kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong bagi memohon untuk mempercepatkan penyelesaian kes anaknya. Kes anaknya ialah kes yang berprofil tinggi yang diketahui oleh seluruh pelusuk negara. Mungkin sahaja suatu masa nanti ia akan menjadi satu sejarah panjang yang berkait-kait dengan kisah perjuangan rakyat.

Saya berteka-teki tentang kewajaran pihak-pihak yang menghantar surat atau memorandum kepada YDPA tentang perkara-perkara yang mereka tidak berpuas hati. Sejak akhir-akhir ini, perbuatan menghantar memorandum dan surat ini semakin menjadi-jadi pula. Baru sahaja agaknya kita mendengar tentang perarakan baju merah dan hitam menghantar memorandum berkenaan isu air dan salah guna kuasa, hari ini Azlan Lazim juga mengambil langkah yang sama. Sudah bertahun-tahun amalan menghantar memorandum ini berlaku tetapi saya tidak pernah pula mendengar apa-apa kesan langsung dari pejabat YDPA hasil memorandum yang dihantar. Mungkin juga Istana Negara telah menyediakan sebuah perpustakaan khas untuk menyimpan buku-buku memorandum tersebut lantaran terlalu banyak yang telah dihantar dan tebal-tebal pula. Ia mungkin amalan sesetengah pihak untuk menunjukkan pengaruh mereka kepada rakyat, atau hanya sekadar ingin mendapatkan publisiti politik bagi meraih tumpuan.

Bagi kalangan orang-orang yang celik, apalah yang boleh dibuat dengan menghantar memorandum kepada pejabat YDPA. Pernahkah kita mendengar suatu polisi ditukar selepas satu memorandum dihantar? Pernahkah juga kita mendengar YDPA memberikan respons selepas membaca sesebuah memorandum? Mungkin juga memorandum itu langsung tidak sampai ke tangan YDPA kerana telah ditapis dahulu untuk bacaan pegawai-pegawai istana yang lain. Umum mengetahui bahawa institusi kesultanan negara kita hanyalah sebuah simbol yang gah tanpa apa-apa kuasa, seperti juga kita melihat Tugu Negara yang diukir dengan perwira-perwira bersenjata tetapi langsung tidak dapat mencipta gerun kepada sesiapa.

Institusi kesultanan sekarang ibarat Tugu Negara itulah. Kata-kata mereka tidak lagi diambil peduli oleh sekalian rakyat kerana mereka tidak berkuasa hatta di atas kata-kata mereka sendiri. Mereka hanya bersuara di dalam ucapan kemerdekaan, Maulud Nabi, Maal Hijrah atau beberapa lagi peristiwa yang berkaitan. Akhbar-akhbar kemudiannya akan memetik ucapan mereka selama beberapa hari untuk dimuatkan, tetapi selepas itu ia akan kembali senyap sunyi seperti peristiwa itu tidak pernah terjadi. Tiada siapa lagi yang akan mengambil peduli dan tiada siapa pun yang cuba untuk merealisasikan ucapan mereka.

Perkara yang paling menyakitkan hati kepada saya ialah apabila saya menjadi ketua, tetapi kepimpinan saya tidak dihormati barang sedikit pun oleh orang-orang bawahan. Semoga institusi kesultanan kita tidak sebegitu.

4 comments:

a.samad jaafar said...

Istana lambang ketua negeri/negara.. kekal sebagai lambang.. tak lebih tidak kurang..malas nak cakap lebih2.. pendam di hati je..

eMMe said...

kelisa, mesti ade punya yg tak kene dgn institusi kesultanan kita...kite nmpk, tapi wat2 tak de pape berlaku...

Anonymous said...

Mereka masih relevan. Cuma tidak ada kuasa sebesar org nombor satu negara. Kita pun tahu bagaimana asal usulnya mereka boleh menjadi institusi yg pegun begitu dan hanya menjadi boneka pemerintahan.Kita pun akan susah nanti kalau ada 2 orang nombor satu negara, kan?
-lin-

kelisa_samudera said...

samad : yg pendam di hati yg bahaya tu. macam gunung berapi. makin lama pendam makin membara.

emme : betul. org buat2 tak paham padahal dalam hati ramai dah berkata2.

lin : betul juga. ada satu pun payah nak handle apa lagi kalau ada 2 3 org no satu.