27 August 2009

Berlaku adil


Bagi pemikiran manusia yang cetek dan tidak dapat memandang kecuali apa yang dibenarkan oleh-Nya, selalu juga kita merasakan bahawa Allah tersilap meletakkan sesuatu di tempatnya. Begitu juga setelah ditimbang-timbang dan difikir-fikir, kita merasakan kita punya idea yang lebih baik untuk mentadbir dunia ini berbanding dari apa yang telah Allah takdirkan kepada semua makhluk di muka bumi Allah.

Hal ini sebenarnya sudah lama berlaku, malah ketika zaman sebelum kewujudan manusia sendiri lagi. Apabila Allah mahu menciptakan manusia, malaikat-malaikat mempertikaikan dengan berkata," Ya Tuhan kami, mengapa Kau ingin mencipta manusia yang mana mereka ini sentiasa melakukan kerosakan dan sentiasa pula menumpahkan darah di atas muka bumi, sedangkan kami para malaikat sentiasa bertasbih dan memuji-Mu." Dan Allah yang Maha Cerdik itu membalas, "sesungguhnya Aku tahu apa kamu tidak tahu."

Acapkali kita melihat dari mata kasar bahawa perancangan Allah ini kadangkala tidak tepat. Sebagai contoh, mengapa Allah memberi anak-anak yang ramai kepada keluarga miskin yang hidupnya hanya mengharap tulang empat kerat, sedangkan pada orang-orang kaya anak-anaknya tidak pula ramai. Bukankah elok jika orang miskin mempunyai anak yang sedikit kerana ia sesuai dengan kemampuan kewangannya, manakala orang kaya diberikan anak yang ramai untuk disesuaikan pula dengan kekayaannya. Begitu juga di zaman serba pantas ini remaja-remaja bangsat senang-senang pula dapat hamil anak luar nikah walaupun baru sekali dipegang oleh bukan muhrim, sedangkan ada lagi orang lain yang sudah putus harapan untuk mendapatkan zuriat kerana sudah terlalu lama berkahwin tanpa dikurniakan anak. Hari ini, kita mempertikaikan mengapa Allah melantik orang-orang yang tidak boleh dipercayai integriti dan keperibadiannya sebagai ketua dan pemimpin, sedangkan bukankah elok jika jawatan pemimpin itu Allah aturkan untuk mereka yang sungguh-sungguh berazam membangunkan negara dan agama. Mengapa pula orang yang suka menganiaya orang lain dapat menjadi popular dan dihormati orang walhal golongan yang zuhud dan sentiasa bersikap berbaik-baik sesama insan tidak pula dikenali walaupun di daerah sendiri?

Banyak lagi yang ingin saya utarakan tentang 'ketidakadilan' Allah ini. Adakah Dia benar-benar mahu menguji hamba-Nya dengan memberikan kesusahan dan ketidakadilan ini?

Memang benarlah seperti yang difirman Dia di dalam surah Luqman. Bahawasanya jika dibandingkan ilmu seluruh manusia dengan ilmu yang ada pada Allah, nisbahnya hanyalah seperti setitis air dengan 7 lautan, dan ditambah lagi dengan 7 lautan yang sama. Setiap apa yang dilaksanakan dan ditakdirkan punya hikmah yang kita tidak tahu sehinggalah kita diberitahu sendiri nanti.

Saya juga berfikir pada pandangan saya yang cetek ini, jika dunia ini berlari dan berpusing mengikut apa yang baik di mata kita, maka kita tidak dapat merasa kenikmatan dunia ini lagi. Mungkin apa yang baik di mata kita tidak semestinya baik di mata orang lain kerana kita sentiasa memandang dunia pada sudut yang berbeza. Seperti saya menulis nombor 6 di atas sekeping kertas putih dan saya campakkan di jalanan, ada orang yang akan melihatnya sebagai nombor 6, tetapi ada pula yang melihat sebagai nombor 9.

Dengan sebab inilah sampai bila-bila pun kita tidak akan dapat memuaskan hati semua orang. Saya belajar tentang perkara ini apabila menonton filem Bruce Almighty. Filem yang digam oleh FINAS dengan alasan menyesatkan dan memesongkan akidah ini memberi banyak pengajaran kepada saya untuk terus hidup di atas dunia. Sekiranya kita menjadi Tuhan sekalipun, belum tentu kita akan dapat mencipta dunia yang sebaik kita diami sekarang. Saya sentiasa percaya bahawa Allah telah melakukan yang terbaik untuk semua makhluk-Nya, soalnya adakah kita sendiri yang mahu untuk menjadi makhluk terbaik kepada Tuhannya.

Apa yang penting, lakukanlah perintah Allah dan jalankanlah kerja kita dengan sepenuh kerelaan dan kemanisan. Yang lain-lain, biarlah Allah yang jalankan. Dia lebih tahu. Lagipun, dunia ini Dia yang punya. Dia berhak ke atas segala-galanya.

5 comments:

yg_indah said...

amaran.blog ini semakin "berat"

Seorang Bukan Sasterawan said...

saya sedang berseronok meneroka minda di blog ini..
p/s: 1 kandungan blog ni mmg tahap piawai pemikiran orang-orang hebat..huhuhuh..

kelisa_samudera said...

yg_indah
apa maksud berat tu? cuba habaq mai sat. adakah ia bermaksud sensitif pada pandangan mata orang, atau ia terlalu sukar difahami atau apa?

SBS
huhuhu. hang jangan cakap macam tu SBS. malu aku. ilmu pengetahuan aku tak seluas apa yang ada pada hang, tapi sampai sekarang hang takmau keluarkan lagi.

yg_indah said...

berat utk aku faham la.ni pemikiran tahap pegawai kjaan ni.aku menoreh ja.muahahahha

kelisa_samudera said...

yg_indah

walaupun hang hanya seorang penoreh, tapi hang ada double degree. aku nak dapat satu degree pun jenuh. huhuhuhu