Ada manusia diuji oleh Allah dengan kesukaran sepanjang
hidupnya. Mungkin ada masa-masa dirinya merasa senang dan tenteram tetapi pada
zahir mata orang lain dia diuji dengan kesusahan sepanjang masa. Hidupnya tidak
pernah dilimpahi kemewahan material, sentiasa ketinggalan dari harta benda,
tidak pandai di dalam bidang kerja manusia malah tidak mempunyai sanak saudara
pun. Ditambah pula dengan ujian kesedihan akibat kematian orang tersayang,
perceraian atau tiada orang yang boleh menumpang kasih sayang. Hidupnya serba
serbi susah sejak dilahirkan.
Ada pula manusia yang diuji Tuhan dengan kesenangan yang
melampau-lampau. Sejak lahir hingga saat kematian pada zahirnya mewah-mewah
sahaja, seperti raja-raja atau anak-anak menteri. Jika ada kesedihan pun
hanyalah pada hati nurani mungkin akibat putus cinta, kehilangan harta yang
disayangi kerana dicuri atau sebagainya. Hidup mereka berpengaruh, wajah mereka
cantik dan tampan, wang mereka banyak dan kawan-kawan juga ramai. Tidak
dinafikan kita sentiasa mengimpi kehidupan jenis ini, bahkan kadang-kadang berangan-angan
jika tidak sesenang itu dapat berkawan dengan mereka pun tidak mengapa.
Inilah fitrahnya. Tuhan tidak menjadikan dunia ini tempat
yang adil untuk kita semua. Masakan boleh adil jika ada manusia yang susah
tetapi ada pula yang senang. Ada manusia yang cantik ada pula yang mukanya
hodoh. Ada yang berpengaruh boleh membeli apa sahaja termasuk kuasa, tetapi
jika tiada apa-apa bukan sahaja dilayan dengan buruk malah mereka ini diinjak-injak
pula. Mengapakah Tuhan menjadikan keadaan ini di dunia? Tidak lain hanyalah
untuk menunjukkan bahawa ada satu tempat di mana keadilan akan tercapai juga
suatu masa nanti. Ketika di dunia Allah menetapkan keadaan kita sebegini,
janganlah lupa pula satu hari nanti segala-galanya itu akan kembali juga ke
pangkuan Tuhan. Oleh yang demikian, jika kita dikurniakan dengan kemewahan
segala-gala yang ada di dunia ini, tidak perlulah meninggi diri kerana suatu
masa nanti orang yang tidak punya apa-apa boleh pula meminta di hadapan Tuhan
benda yang kita miliki itu.
Kadang-kadang kita mengeluh jika nasib tidak memihak kepada
kita. Sebagai contoh kita memohon kerja di satu tempat, tetapi mengapa orang
lain pula yang dapat padahal kita dan mereka sama-sama mempunyai kelayakan.
Jika kita benar-benar faham akan keadilan yang Tuhan tetapkan nanti, tidak
perlulah kita mengeluh kerana akhirnya Allah akan memberikan keadilan juga.
Percayalah dengan janji Tuhan, ianya sama sekali benar. Mungkin emosi dan nafsu
kita sentiasa membayangkan kepercayaan itu, tetapi didiklah hati bahawa Allah
tidak akan mensia-siakan kita. Mungkin sekarang kita rasa seperti dipencilkan
Tuhan, tetapi sebenarnya tidak. Tunggulah nanti. Kita akan faham juga.