18 October 2009

Cerita seorang pakcik


Saya selalu bertemu pakcik ini. Ketika di Kuala Lumpur, dia akan memberikan syarahan di Masjid Negara selepas solat Jumaat. Di Ipoh, kelibatnya akan kelihatan di Masjid Negeri, juga selepas solat Jumaat. Saya paling ingat syarahannya apabila dia menyalahkan sistem pembelajaran Matematik di sekolah-sekolah sebagai menyusahkan dan rumit, padahal Matematik sebenarnya sangat mudah.

Di dalam sejarah dunia, terdapat bijak-bijak pandai yang tidak diiktiraf semasa hayat mereka, malah ada yang dibunuh kerana memberikan pendapat yang bertentangan dengan idea semasa. Yang paling diingati mungkin Galileo Galilei dan Imam Hanafi. Seorang lagi saya tidak ingat, tetapi pendapatnya tidak dipedulikan kerana dia tidak mempunyai ijazah dari mana-mana universiti. Akhirnya, 100 tahun selepas kematiannya barulah orang lain mula mengiktiraf pandangan tersebut. Pakcik ini mungkin tidak sampai dibunuh oleh pemerintah kerana pendapat berbeza yang dikemukakannya, tetapi saya sangat khuatir jika pakcik ini sememangnya seorang yang sangat bijak.

Jika dia benar-benar bijak, rugilah jika saya tidak mengambil apa-apa ilmu daripadanya. Memerhatikan dari jauh, saya memang berminat untuk berguru dengannya. Malah, saya ingin membeli buku yang dijual oleh beliau yang berharga RM5.00. Tetapi kerana sifat ego dan malu, sehingga sekarang saya masih tidak membeli buku tersebut. Saya yakin orang lain juga sama seperti saya kerana menganggap pakcik ini sebagai hiburan, tetapi tidak cuba untuk memanfaatkannya.

Saya merasakan bahawa dia memang seorang yang bijak. Pernah dicatat di dalam akhbar, pakcik ini menghadiri seminar angkasa lepas dan menyarankan supaya sistem pelepasan angkasa dibuat seperti kapal terbang biasa berlepas. Seperti biasa, pendapatnya diketawakan oleh sarjana-sarjana yang lain. Tetapi pada masa sekarang, sistem pelepasan kapal terbang biasalah yang sedang dirintis oleh sarjana angkasa berbanding sistem pelepasan secara roket.

Di dalam masa 2 3 minggu ini, saya sedang berfikir-fikir untuk mendekati pakcik ini. Jika tidak pun, sekurang-kurangnya saya akan berusaha untuk membeli buku yang dibuat oleh beliau. Saya risau jika dia menjadi Galileo Galilei atau Imam Hanafi, tentulah selepas saya mati saya akan diketawakan oleh anak cucu sendiri kerana tidak menimba manfaat dari orang yang bijak.

5 comments:

Ceritera Marhaen said...

kenapa perlu tunggu 2 3 minggu?itupun untuk berfikir2? anda telah menulis pendapat anda dan klu betul anda yakin dengan tulisan anda, sepatutnya anda beli karya pokcik ni sekarang juga ataupun esok lusa..tak perlu difikir2kan lagi..atau anda tak yakin dengan pendapat anda ini???

p/s: kalaulah pakcik tu duk kat melaka, aku dah lama beli dah buku dia...

kelisa_samudera said...

1 minggu untuk fikir camana nak approach dia. satu minggu lagi untuk fikir cara terbaik approach dia. macam ko nak approach awek jugak. mula2 ko usyarrr, agak2 berkenan baru ko fikir camana nak approach dia. kalo tiba2 ko pegi jumpa dia cakap saya suka la kat pakcik, bukan dia je, dengan aku pun muntah sekali.

nak beli buku tu sekarang? sekarang baru hari selasa beb. aku jumpa pakcik tu pun hari jumaat je.rumah dia pun aku tak tau kat mana.

Anonymous said...

Aku pon pernah dengar sharahan dia kat masjid negara. memang ramai yang berkerumun nak dengar formula matematik dia, ada jugak yg beli buku dia tuh. Aku pernah naik LRT star dgn Pakcik nih, die turun kat Bandar Tun Razak. Aku tak tau kat mana dia tinggal. Tapi yang best, formula matematik daun yang dia pakai tuh mmg masuk akal.

Syed aljefrey

kelisa_samudera said...

syed : mentaliti orang kl memang macam tu. diorang tak malu mengejar ilmu. tapi di perak ni, takde sapa pun yang nak beli buku dia. mungkin aku akan jadi orang yang pertama. huhuhu

atbk said...

Pakcik ni first time aku jumpe mase aku
Sekolah Izzuddin dulu...
bagi ceramah lepas sembahyang Asar...
Mmg sekolah benarkan.
mase tu aku ingatkan die memang academician.
Pastu dah besar ni aku masih nampak
dia merayau2 di jalan raya,
di jalan masjid India...
entahlah...