25 October 2009

Ketam mengajar anak

Tulisan saya kali ini sedikit panjang sebagai rujukan kepada saya di kemudian hari. Sabtu dan Ahad lepas, saya ke Kelab Golf di Taiping untuk menghadiri Hari Keluarga tempat isteri saya bertugas. Seperti biasa, hari keluarga amatlah sinonim dengan sukaneka untuk kanak-kanak. Oleh kerana saya tiada anak, saya hanya memerhatikan dari jauh, dan memang tabiat saya suka memerhatikan perwatakan orang lain.

Tiba acara lari di dalam guni untuk kanak-kanak, terdapat peraturan iaitu bermula dari petak mula, semua kanak-kanak akan berlari 10 meter ke hadapan dan mengelilingi seorang dewasa yang berlakon sebagai tiang, dan patah balik ke petak mula. Kanak-kanak yang kedua akan mengambil giliran dan bermain perkara yang sama dan kanak-kanak yang ketiga akan terus berlari kehadapan tanpa mengelilingi tiang berkenaan dan terus berlari ke garisan penamat. Terdapat 10 kumpulan yang terdiri dari 3 orang kanak-kanak setiap kumpulan dan setiap kumpulan ialah satu keluarga adik beradik.

Saya memerhatikan seorang pegawai yang berpangkat lebih tinggi dari isteri saya mengajar anaknya dengan bersungguh-sungguh untuk menang. Apabila juruacara memberikan penerangan, dia tidak mengambil endah sebaliknya terus mengajar anak-anaknya untuk berlari dengan betul di dalam guni. Itu bukanlah satu kesalahan, kerana dia merangsang anaknya untuk berjaya.

Tetapi apabila wisel dibunyikan, ketika anaknya berlari di dalam guni, dia mengikut di belakang sehinggalah sampai ke tiang. Ibu bapa yang lain tidak pula bertindak seperti beliau. Dia menyuruh anaknya supaya tidak mengelilingi tiang tersebut kerana ia akan membazirkan masa. Dia kemudiannya menarik anaknya untuk kembali ke petak mula. Anaknya yang kedua mengambil tempat sambil diekori oleh pegawai tersebut seperti anaknya yang pertama tadi, dia tidak mengelilingi tiang itu dan terus kembali ke petak mula. Anak pegawai yang terakhir kemudian terus berlari dan mendapat tempat pertama, jauh meninggalkan peserta yang lain kerana permainan kotor mereka. Hadiahnya ialah hamper makanan yang tinggi seperti yang kita biasa lihat.

Saya melihat dengan penuh hikmah. Kemudian, saya bertanya kepada isteri saya, "Awak tengok tak peristiwa tadi?". Isteri saya kembali bertanya, "Kenapa?".

Saya kemudiannya menyambung, "nanti kita sudah ada anak sendiri, janganlah kita ajar anak menipu semata-mata untuk menang. Biarlah kita kalah dengan cara bermaruah, daripada kita menang dengan tiada maruah. Apalah sangat harga hamper itu jika dibandingkan dengan harga maruah yang telah kita gadai."

Saya sedar ini hanyalah sukaneka yang diadakan untuk bersuka-suka. Mungkin peristiwa itu tidak memberi kesan kepada keluarga yang lain, tetapi bagi saya pegawai itu sebenarnya telah memberikan isyarat yang jelas kepada anak-anaknya, bahawa kita mesti berbuat apa sahaja semata-mata untuk menang termasuklah dengan cara yang paling tidak bermaruah sekali pun. Saya berdoa agar saya dan isteri tidak menjadi ibubapa seperti pegawai itu.

Saya rasa ibubapa yang seperti inilah yang melahirkan ahli-ahli politik yang merampas kerajaan negeri Perak dengan cara tidak sah menurut perlembagaan itu, atau yang menggunakan undi pos untuk menang padahal rakyat sudah menolak mereka.

9 comments:

yg_indah said...

syabas mere bete...

nafastari said...

Kesimpulan yg agak agresif dan berani! Tapi saya langsung tiada masalah untuk menerimanya. Teruskan menulis, En Kelisa, saya tidak akan berhenti membaca.

atbk said...

mak ayah jugak la penyebab terlahirnya personaliti-personaliti pelik di dunia seperti Alif, Faris dan budak pengakap!

kelisa_samudera said...

yg_indah : mere zindegi pyaar kehena

nafastari : berpegang kepada berani kerana benar, takut kerana salah. "saya hanya akan berhenti berkokok sekiranya semua orang sudah bangun tidur".

atbk : tapi aku yakin walaupun 3 orang itu dan ramai lagi berperangai pelik, mereka jauh lebih mulia dari pegawai yang aku ceritakan. tambahan, dengan kepelikan merekalah yang menghias sandiwara dunia. ;)

mamanoa said...

sofie..kalu da mentaliti 'orang tu'- "JANJI MENANG" cheating is the best way to get it..so maruah tergadai atau tidak, it doesn't matter at all..
aku ader tanyer pada wife pegawai tu..naper dia buat camtu..jawapan wife tu:
1) pegawai tu mmg camtu,yg penting menang, & he gonna teach her daughter all d'tricks dat he has in order to win
2) anak dier mmg xleh trima defeat in her life..kalu x anak pegawai tu akan merajuk berhari-hari..

anak sorang beb..sumer sanggup..

kelisa_samudera said...

mamanoa : uihhhh ko perasan peristiwa yg sama ke? aku ingat aku sorang je. hihihi. maknanya aku tak bersendirian la dengan pendapat aku ni.

Ceritera Marhaen said...

Perlu ada seseorang untuk menyedarkan pegwai tersebut..aku teringat pepatah mengatakan, Menang itu bukan bermakna sentiasa mendapat tempat pertama, tetapi org yang menang adalah org yang melakukan lebih baik daripada apa yang dibuat sebelumnya...
buat isteri kelisa & mamanoa, jalankan tugas korg untuk tegur pegawai tu ek

kelisa_samudera said...

keje gomen, paham2 la. nak menegur boss adalah jalan terakhir yang patut kita lakukan. rasanya bukan keje gomen je kut. keje swasta pun sama je. tak caya tanya kodiang.

mamanoa said...

kelisa..aku setuju...ingat senang ke nk tegur perangai senior or boss...lelagi boss mcm boss aku..dia jer yg betul..mengong...