19 August 2011

Di antara 3 negeri



Pekan ini sangat sederhana. Orang-orangnya juga tenang-tenang tidak seperti di bandar Ipoh, apatah lagi jika mahu dibandingkan dengan orang-orang di Kuala Lumpur yang sentiasa kacau bilau. Saat pertama saya menjejakkan kaki ke pekan ini, seperti tiada apa yang istimewa berbanding dengan pekan-pekan lain di negeri Perak. Cuacanya biasa, jalan rayanya juga biasa, kedai-kedai jualan juga biasa, tetapi orang-orang di sini mempunyai loghat Kedah yang baik. Saya seperti berada di 'tanah air' sendiri.

Pekan ini sama sekali tidak akan dapat menandingi pekan-pekan lain di Ipoh dari segi sejarahnya. Ipoh, Kampar dan Taiping terkenal dengan pusat ekonomi dan bijih timah yang berusia beratus-ratus tahun. Kuala Kangsar terkenal dengan pusat pentadbiran diraja. Lain-lain pekan atau bandar juga sudah menjadi terkenal dan maju seperti Manjung, Seri Iskandar atau Teluk Intan, tetapi pekan ini kekal misteri seolah-olah dilepas pandang. Mungkin akibat tiada pelan yang bersesuaian atau tiada sumber alam yang berharga, pekan ini tidak begitu diambil berat oleh pihak pemerintah. Cuma mengadakan semuanya seadanya sambil cuba untuk menambahbaik di mana perlu.

Pagi hari pertama di sini saya agak terkejut juga kerana berjaya sampai ke pejabat lebih awal dari biasa. Seolah-olah kejutan budaya pula apabila pada waktu sebegini tidak ramai orang yang berpusu-pusu ke tempat kerja atau menghantar anak ke sekolah. Semuanya tenang dan tenteram, mungkin juga bulan Ramadhan ini membuatkan masyarakatnya yang kebanyakan Melayu menjadi sedikit malas. Tetapi apa pun, memang tiada kesibukan jalanraya di sini kecuali beberapa tempat akibat projek landasan keretapi berkembar yang melencongkan jalanraya ke jalan-jalan kecil.



Selepas dua tiga minggu, barulah saya menyedari keistimewaan daerah ini. Makanannya yang 'entah apa-apa' membuatkan saya sedikit teruja kerana saya sendiri memang meminati masakan yang eksotik. Makanan di daerah ini terutamanya makanan laut agak sukar diperolehi di tempat lain dan buat kali pertama saya dapat menikmati siput unam, siput duri dan kepah besar. Ketua jabatan saya memberi amaran, berat badan saya akan naik 5 kilogram di dalam tempoh 6 bulan.

Saya teruja untuk terus berada di sini. Sesetengah kawasan di sini benar-benar mengingatkan suasana di kampung saya ketika saya berumur 7-8 tahun. Ada surau kayu yang 'hapak' dan lusuh, jalan yang masih belum bertar dan udara yang nyaman bagaikan mengundang nostalgia ketika zaman kecil. Inilah dia pekan Parit Buntar, pekan paling utara di negeri Perak.

01 August 2011

Oh lamanya

Saya merenung blog ini lama-lama dan terkesima di sudut hati. Semacam ada satu perasaan yang sukar untuk digambarkan kepada orang lain. Ingin sahaja saya berteriak untuk menceritakan apa yang telah terjadi, tetapi bila difikir-fikir tidak sesuai pula. Sudah begitu lama blog ini ditinggalkan. Jika ianya sebuah rumah, tentu sahaja ia sudah bersawang di ceruk-ceruk penjuru dinding. Ular juga mungkin sudah mula menghuni silingnya, malah tikus mungkin menari bercicit-cicit di ruang dapur. Jika ia sebuah motosikal, tayarnya sudah lembik tanpa angin lagi. Karat bertatah di mana-mana, malah kaki juga boleh patah semasa hendak menghidupkannya. Jika ia seorang manusia, tentu ia menangis kesepian tidak dikunjungi sesiapa, malah tuannya juga sudah tidak sudi lagi bertanya khabar.

Lamanya blog ini ditinggalkan. Ketika coretan ini mula dilakar, coretan terakhir tertinggal pada 4 April yang lalu. Bermakna ia sudah 4 bulan ditinggalkan tanpa tuan, laksana hantu raya yang berkumang-kumang gila di pinggir kampung. Maafkan aku, tuanmu ini, kerana leka dengan perkara-perkara yang lain.

Saya mempunyai alasan yang kukuh mengapa dengan sengaja meninggalkan blog ini terlalu lama. Namun apabila mahu diungkit-ungkit tentang alasan itu, ia bagaikan terlekat di kerongkong hingga menyukarkan diri untuk menyebutnya. Biarlah untuk sementara waktu perkara ini disimpan sahaja di lubuk hati, mungkin suatu masa nanti saya punya daya kekuatan untuk menghamburkannya juga. Seperti yang pernah saya baca, ada kebenaran yang lebih elok untuk disembunyikan kerana jika ia didedahkan, mungkin ia boleh mendatangkan mudarat.

Banyak yang berlalu di dalam hidup saya sepanjang beberapa bulan ini. Rezeki yang melimpah sehingga dapat menyelesaikan hutang-hutang jangka pendek, hidup juga semakin tenang seiring dengan usaha saya untuk mendekatkan diri dengan Allah. Kebetulan pula saya memang mempersiapkan diri untuk menghadapi Ramadhan, ingin juga menyempurnakan bulan mulia ini dengan sebaik-baiknya tidak seperti dahulu yang cuma membuat amalan ala kadar sahaja. Alhamdulillah, syukur sahaja. Semoga kasih sayang yang diberi Allah ini sentiasa berterusan sehingga ke akhir hayat. Bekerjalah di waktu yang singkat iaitu dunia, saya mahu berehat di waktu yang panjang.

Terima kasih Allah. Terima kasih kawan-kawan yang merindui saya dan blog ini terutamanya Samad Jaafar dan Toyol Kiut. Allah sahajalah yang membalas jasa kalian sebagai sahabat saya yang baik. Ketika coretan ini ditulis, Samad seolah-olah berseorangan di dalam dunia blog dan terdetik pula rasa bersalah kerana membiarkannya keseorangan. Ketika coretan ini ditulis juga, blog Toyol Kiut terpadam dari rekodnya atas sebab-sebab yang saya sendiri tidak pasti. Mungkin kita akan ketemu lagi suatu masa nanti, bersama-sama di dalam arena penulisan ini dengan motif untuk mendapat redha Allah hendaknya.

Selamat menyambut Ramadhan.

04 April 2011

Astro

Terima kasih Google


Saya pernah menulis tentang Astro satu ketika dahulu. Di dalam tulisan saya itu, saya mempertikaikan tentang kadar langganan yang sangat mahal berbanding dengan rancangannya yang biasa-biasa sahaja. Malah pada musim hujan, kita membayar harga yang sama walaupun ada ketikanya siaran tidak dapat diterima. Pada ketika itu saya telah memutuskan untuk menamatkan langganan Astro, tetapi keputusan itu diubah apabila mendapati ketiadaan Astro membuatkan mutu saluran menjadi tidak begitu baik. Mungkin kerana jiran-jiran sebelah yang rata-ratanya memasang Astro telah memberi kesan kepada penerimaan satelit di televisyen biasa saya.

Malangnya, tulisan itu telah dibuang apabila saya menilai kembali kualiti penulisan yang tidak begitu baik. Sehingga semalam, saya telah melanggan pakej Movie, Learning dan Sports dengan harga RM107.10 termasuk cukai kerajaan 6% yang diperkenalkan baru-baru ini.

Ia sebenarnya tidak menjadi isu kerana saya masih mampu membayar pada harga yang berkenaan. Sehinggalah apabila saya membaca tulisan blogger Probitas Et Fides yang saya hormati di sini, saya terfikir untuk mengikut saranan beliau mengurangkan jumlah pakej bagi menunjukkan tanda protes kepada harga dan perkhidmatan Astro yang tidak memuaskan. Lalu kemudiannya saya berfikir-fikir selama beberapa jam, melayari laman web Astro untuk menilai-nilai pakej baru dan merenung kembali faedah yang telah saya perolehi selama ini, saya telah mengambil keputusan yang pada hematnya dianggap tepat.

Saya melanggan pakej Movie kerana tidak begitu gemarkan rancangan drama tempatan. Pakej Movie menghidangkan cerita-cerita wayang dari Barat yang menghiburkan dan unik. Memang benar pakej ini bagus, tetapi mengenang kembali saya tidak punya masa untuk menonton satu-satu cerita sehingga habis, untuk apa saya melanggan sesuatu yang tidak dapat dinikmati. Saya hanya mempunyai waktu malam untuk berada di hadapan televisyen memandangkan pada siang hari terpaksa bekerja, dan tentu sahaja pada malam itu mempunyai agenda lain yang lebih elok untuk diluangkan bersama keluarga. Pakej Movie dianggarkan bernilai lebih kurang RM38.00 untuk 3 saluran, dan selalunya satu cerita itu akan diulang selama beberapa bulan sebelum diganti dengan cerita yang lain.

Pakej Sport pula dilanggan kerana saya meminati bolasepak Eropah dan juga badminton. Tetapi memandangkan bolasepak hanya ditayangkan pada malam minggu, malah ada ketikanya ditayangkan pada waktu pagi ketika saya nyenyak tidur, apalah guna saya membayar harga yang lebih demi untuk sesuatu yang sangat sedikit. Kadang-kadang pertandingan badminton juga disiarkan di pakej ini, tetapi ia sangat jarang kerana pertandingan badminton dunia juga sangat sedikit.

Berfikir-fikir kembali, saya akhirnya menggugurkan Sports dan Movie serta menggantikannya dengan Fun dan Mustika. Tinggallah harga yang dibayar ini kepada RM62.90 sebulan, jauh lebih murah dari sebelumnya. Terima kasih Astro, saya tidak akan membayar lagi untuk sesuatu yang tidak dapat saya nikmati. Terima kasih juga kepada Probitas Et Fides kerana menggerakkan usaha ini, semoga Astro lebih mendengar pendapat orang ramai berbanding memberi tumpuan kepada keuntungan kendiri sahaja.


28 March 2011

Syarat wajib tayang


Di antara salah satu trivia menarik yang dicipta secara tidak sengaja oleh rakyat Malaysia ialah pawagam Malaysia mencatatkan kehadiran penonton paling sedikit di dunia dikira dari peratusan keseluruhan rakyatnya. Ia bermakna kebanyakan rakyat Malaysia bukanlah suka menonton wayang, malah jika ada penonton yang berulang-ulang sekalipun ia hanyalah di dalam kuantiti yang sedikit. Jika membandingkan kepada statistik diri saya sebagai penonton wayang, saya percaya fakta itu mungkin ada kebenarannya. Kali terakhir saya ke pawagam ialah pada November 2010 ketika menonton filem Hantu Kak Limah Balik Rumah. Sebelum November itu ialah pada Mei 2009 ketika menyaksikan filem Crossing Over. Oleh itu, saya mengambil masa selama 1 tahun 6 bulan untuk kembali ke pawagam semula. Jika tidak silap saya sebelum filem Crossing Over, kali terakhir yang dapat saya ingat ialah filem Madagascar pada tahun 2005 di Selayang Mall.

Saya terdetik untuk mengulas tentang Syarat Wajib Tayang yang diperkenalkan di Malaysia. Peraturan ini dicipta dengan niat untuk membantu pengusaha filem mendapatkan penonton yang ramai, yang mana mereka diberikan hak khas selama satu minggu untuk menayangkan filem mereka tanpa diganggu oleh filem-filem tempatan yang lain. Jika sambutan menggalakkan, pemilik wayang boleh menambah masa tayangan kepada minggu-minggu yang berikutnya tetapi jika ia tidak menguntungkan, pemilik wayang boleh menutupnya selepas habis satu minggu. Oleh kerana jumlah penonton Malaysia tidak ramai, bahkan filem Malaysia belum cukup kuat untuk bertarung dengan filem-filem luar di negara sendiri apatah lagi di luar negara, Syarat Wajib Tayang ini sentiasa menjadi pilihan pengusaha filem. Syarat Wajib Tayang ini tidaklah wajib, kerana itu jika kita masih ingat filem 2 Alam keluaran Dr Rozmey tidak menggunakannya. Kebanyakan pengusaha filem yang tidak menggunakan syarat ini selalunya berpendapat filem mereka agak kuat dan dapat memberi keuntungan, walaupun begitu mereka terpaksa menanggung risiko filem mereka disingkirkan lebih awal di pawagam jika filem itu tidak mendapat sambutan.




Baru-baru ini penerbit Ratu The Movie, Latif Mohaideen menyuarakan ketidakpuasan hatinya tentang syarat ini yang dianggap tidak begitu adil kepada semua pengusaha filem. Ia dibangkitkan apabila filemnya terpaksa bersaing dengan Merong Mahawangsa yang disiarkan seminggu lebih awal, memandangkan filem epik Merong Mahawangsa ini mendapat sambutan di luar kebiasaan. Hasilnya, dia menerima tempias apabila kebanyakan penonton tidak memilih untuk menonton Ratu The Movie.

Saya sebenarnya tidak begitu nampak tentang rungutan beliau. Mungkin dia mengakui bahawa filemnya kurang bermutu, maka dengan itu dia menyalahkan syarat wajib tayang yang telah diperkenalkan. Di dalam wawancaranya dengan Berita Minggu, dia memberikan metafora seperti berikut;

Ironinya beginilah, kalau anda ada RM10, anda akan pilih nasi ayam di gerai atau KFC? Harganya sama, tentu ramai pilih KFC.

Saya percaya dia menyamakan Merong Mahawangsa dengan KFC, dan tentu saja Ratu The Movie dengan nasi ayam di gerai. Soalnya benarkah begitu? Adakah semua orang yang mempunyai RM10 akan memilih KFC? Jika nasi ayam di gerai lebih lazat dan mengenyangkan, tentu saja ramai orang tidak akan malu-malu menikmati hidangan nasi ayam di gerai.

Pada pandangan saya, metafora sebegini tidaklah begitu tepat. Tidak semua orang akan memilih hidangan KFC jika punya wang dengan nilai yang sama. Begitu juga tidak semua orang akan memilih untuk menonton Merong Mahawangsa jika filem Ratu The Movie mempunyai kualiti filem yang baik. Namun jika dibanding-banding secara kasar, filem Ratu The Movie sekali imbas hanyalah mempertaruhkan keseksian pelakonnya berbanding Merong Mahawangsa yang lebih serius. Tentang seksi ini, kebanyakan penonton sudah jemu untuk melihatnya.

Latif Mohaideen juga mendakwa pelaburan besar Merong Mahawangsa tentu saja membuatkan ramai orang teruja untuk menontonnya, manakala Ratu The Movie yang menggunakan belanja yang kecil tidak akan dapat menyaingi kehebatan Merong. Bagi penonton biasa, belanja yang besar bukanlah satu isu yang menghadirkan penonton ke pawagam. Tentu sahaja belanja besar akan membuatkan filem lebih cantik dan berkesan, tetapi ia tidak memainkan peranan yang besar. Jika filem berbelanja besar dapat menarik perhatian ramai, mungkin filem seperti Sumolah atau Jogho dapat mengaut keuntungan yang besar.

Bagi saya, filem-filem Malaysia sangat klise. Kebanyakan filem dapat kita ramal klimaksnya selepas 15 minit tontonan, menyebabkan saya berasa sangat jemu dan bosan. Saya percaya Ratu The Movie juga sama, dan saya sudah tidak larat lagi melihat peha mulus gadis-gadis murahan yang dipertontonkan, atau setidak-tidaknya ketiak mereka yang ditayangkan secara percuma itu. Buatlah filem yang lebih baik, lebih jujur dan di luar kebiasaan. Dengan sebab itu saya masih lagi teruja untuk menonton Saving Private Ryan, The Rock, Buli, Buli Balik atau The Others kerana filem-filem ini unik dan mempunyai nilai yang tersendiri.