22 November 2009

Tentang slogan

Setiap kali bertukarnya pemerintahan tertinggi negara, ada satu perkara yang akan menjadi tumpuan rakyat walaupun rakyat tidak kisah langsung sebenarnya dengan perkara itu pada permulaannya. Ia berkaitan dengan slogan pemimpin. Slogan yang entah disebut secara spontan atau difikir beratus-ratus kali sebelum mengucapkannya, namun ia akhirnya menjadi petunjuk kepada orang-orang bawahan untuk menjadi lebih kreatif dalam merealisasikan hasrat tersebut. Slogan ini dianggap oleh rakyat sebagai pedoman dan halatuju kepimpinan negara, bahkan ada juga golongan yang lebih melampau menggunakannya di dalam kehidupan sehari-harian tanpa memahami erti sebenar slogan-slogan itu.

Sayugia juga diingatkan bahawa slogan-slogan ini bukanlah suatu yang penting pun di dalam pentadbiran negara. Ia adalah sejenis kosmetik pentadbiran yang adanya tidak membawa apa-apa makna, ketiadaannya juga tidak memberi apa-apa mudarat. Walaupun begitu, nampaknya slogan yang ghairah dipertonton dan diwar-warkan oleh pemimpin negara boleh juga memakan diri mereka sendiri.

Ketika pemerintahan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, slogan Cemerlang Gemilang Terbilang akhirnya menjadi sandiwara dan bahan ketawa orang ramai. Apa yang cemerlang di masa pemerintahannya, apa pula yang gemilang dan apa pula yang terbilang? Akhirnya apabila beliau meletak jawatan, namanya juga semakin hilang dengan cemerlang. Tiada apa-apa langkah yang gemilang semasa pentadbirannya yang akan membuatkan rakyat mengingati beliau. Nama beliau di dalam akhbar juga sudah boleh dibilang dengan jari. Tiada lagi cerita-cerita tentang Dato' Seri Abdullah yang sudah bergelar Tun itu. Malah Perdana Menteri sebelum beliau pula yang lebih menonjol.

Kini, slogan 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan pula menjadi zikir harian penjawat awam dan kaki ampu. Secara kasarnya, slogan ini dilihat seolah-olah sudah memakan diri. Mana-mana sahaja forum di dada akhbar, maklumbalas atau komentar rakyat yang mengadu hal itu dan ini, akhirnya dibawahnya mereka akan menggunakan slogan ini untuk menyatakan bahawa mereka tidak didahulukan. Hal-hal remeh seperti sampah tidak dikutip, lampu isyarat tidak berfungsi, penutupan jalan, pemeriksaan kereta di Puspakom sehinggalah kepada hal besar seperti pembayaran semula PTPTN, pembubaran DUN Perak akan disertakan sekali dengan "Rakyat Didahulukan". Percayalah, slogan ini lama-lama akan menjadi kudis di dalam pentadbiran negara.

Tiba masanya supaya pemimpin negara tidak terlalu mementingkan kosmetik yang tebal di dalam pentadbiran. Rakyat yang berpelajaran tidak peduli dengan slogan-slogan seperti itu, mereka juga tidak kisah dengan janji-janji manis di dalam ucapan perasmian. Mereka lebih mementingkan perlaksanaan. Bercakap sejuta patah perkataan memang kedengarannya sangat manis, tetapi tanpa perlaksanaan ia akan menjadi hempedu yang semakin membarah di dalam hati rakyat.

8 comments:

yg_indah said...

lepas ni apa lak slogannya ya.kalau xdak slogan xleh ka?bazir duit woo buat slogan.

Nafastari said...

Ya, kami tidak perlukan slogan dan kosmetik!!
Kami cuma perlukan pemimpin yg berakhlak mulia dan bermoral tinggi.

atbk said...

poyo je lebih...
entahlah gomen ni...
die igt kita budak2 ke ape?

Insan Biasa said...

aku terpikir, kalau orang ucap "salam 1malaysia", apa patut kita jawab?
(a) wa'alaikumussatu malaysia
(b) pala hotak hang! mana ada orang salam camtu
(c) hang belajaq mana ni?!!!
(d) astaghfirullah al-'adzeem

oney said...

org politik pun macam artis jugak.

artis baru muka baru,personaliti baru, trademark baru..
lain artis lainlah slogannya..
hikhik

Insan Biasa said...

"Politician is the one who can promise good things and has the ability to give excuses when the things are not done"

Golongan Marhaen said...

rasa macam berniaga MLM pun ada jugak..setiap kali tukar bos, macam tukar leader dalam group masing2...ayat untuk pancing dan tarik perhatian kita bukan main manis sekali..tapi sekali dah join, ntah ke mana..bos2 yg duk atas tu memangla makin kaya, tapi penccai macam aku ni kene pakse keje siang malam..gaji menciput jugakk...alahai...

Insan Biasa said...

haha... GM macam ada pengalaman je... hehehe...