
Pekan ini sangat sederhana. Orang-orangnya juga tenang-tenang tidak seperti di bandar Ipoh, apatah lagi jika mahu dibandingkan dengan orang-orang di Kuala Lumpur yang sentiasa kacau bilau. Saat pertama saya menjejakkan kaki ke pekan ini, seperti tiada apa yang istimewa berbanding dengan pekan-pekan lain di negeri Perak. Cuacanya biasa, jalan rayanya juga biasa, kedai-kedai jualan juga biasa, tetapi orang-orang di sini mempunyai loghat Kedah yang baik. Saya seperti berada di 'tanah air' sendiri.
Pekan ini sama sekali tidak akan dapat menandingi pekan-pekan lain di Ipoh dari segi sejarahnya. Ipoh, Kampar dan Taiping terkenal dengan pusat ekonomi dan bijih timah yang berusia beratus-ratus tahun. Kuala Kangsar terkenal dengan pusat pentadbiran diraja. Lain-lain pekan atau bandar juga sudah menjadi terkenal dan maju seperti Manjung, Seri Iskandar atau Teluk Intan, tetapi pekan ini kekal misteri seolah-olah dilepas pandang. Mungkin akibat tiada pelan yang bersesuaian atau tiada sumber alam yang berharga, pekan ini tidak begitu diambil berat oleh pihak pemerintah. Cuma mengadakan semuanya seadanya sambil cuba untuk menambahbaik di mana perlu.
Pagi hari pertama di sini saya agak terkejut juga kerana berjaya sampai ke pejabat lebih awal dari biasa. Seolah-olah kejutan budaya pula apabila pada waktu sebegini tidak ramai orang yang berpusu-pusu ke tempat kerja atau menghantar anak ke sekolah. Semuanya tenang dan tenteram, mungkin juga bulan Ramadhan ini membuatkan masyarakatnya yang kebanyakan Melayu menjadi sedikit malas. Tetapi apa pun, memang tiada kesibukan jalanraya di sini kecuali beberapa tempat akibat projek landasan keretapi berkembar yang melencongkan jalanraya ke jalan-jalan kecil.

Selepas dua tiga minggu, barulah saya menyedari keistimewaan daerah ini. Makanannya yang 'entah apa-apa' membuatkan saya sedikit teruja kerana saya sendiri memang meminati masakan yang eksotik. Makanan di daerah ini terutamanya makanan laut agak sukar diperolehi di tempat lain dan buat kali pertama saya dapat menikmati siput unam, siput duri dan kepah besar. Ketua jabatan saya memberi amaran, berat badan saya akan naik 5 kilogram di dalam tempoh 6 bulan.
Saya teruja untuk terus berada di sini. Sesetengah kawasan di sini benar-benar mengingatkan suasana di kampung saya ketika saya berumur 7-8 tahun. Ada surau kayu yang 'hapak' dan lusuh, jalan yang masih belum bertar dan udara yang nyaman bagaikan mengundang nostalgia ketika zaman kecil. Inilah dia pekan Parit Buntar, pekan paling utara di negeri Perak.